Sunday, February 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trak hidrogen pecah rekod, jelajah 1,800 batu dengan satu isian

    WASHINGTON, 18 DIS – Sebuah trak berkuasa hidrogen mencatat pencapaian baharu dengan menempuh perjalanan lebih 1,800 batu hanya dengan satu isian bahan api, menurut Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

    United Press International (UPI) melaporkan bahawa projek itu adalah hasil kerjasama antara Jabatan Tenaga, Jabatan Pertahanan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dan syarikat teknologi Cummins Inc. 

    Dikenali sebagai trak ‘H2Rescue,’ kenderaan prototaip itu merupakan hibrid sel bahan api hidrogen dan bateri yang direka untuk memberikan sokongan di kawasan bencana.

    Ia mampu membekalkan kuasa sebanyak 25kW selama sehingga 72 jam tanpa perlu mengisi semula bahan api. 

    “Ia benar-benar mengurangkan kerumitan membawa kuasa ke kawasan bencana,” kata pengurus program di Pejabat Sokongan Misi dan Keupayaan DHS, Ron Langhelm.

    Gambar Freepik

    Trak itu juga mampu membekalkan tenaga, haba dan air di kawasan bencana.

    “Pendekatan ini menggunakan hidrogen dan sel bahan api dalam sebuah trak yang boleh pergi ke lokasi yang diingini.

    “Melalui pertandingan dengan sektor swasta dan kolaborasi dengan agensi lain seperti Jabatan Pertahanan, DHS dan kini FEMA, kami berjaya menghasilkan prototaip yang pertama seumpamanya,” kata Pengarah Pejabat Teknologi Hidrogen dan Bahan Api di Jabatan Tenaga, Dr Sunita Satyapal.    

    Prototaip berkenaan dibangunkan oleh Accelera, mencipta rekod dunia Guinness bulan lalu dengan menempuh jarak 1,806 batu dengan satu isian bahan api hidrogen. 

    Trak itu melengkapkan perjalanannya di California, dengan pengesahan bahawa ia menghasilkan sifar pelepasan karbon dioksida (CO2).

    Sebagai perbandingan, enjin pembakaran trak kebiasaannya menghasilkan sekitar 664 paun CO2 untuk jarak yang sama. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda