DETROIT, 12 JAN – Untuk tahun kedua berturut-turut, kenderaan daripada syarikat Ford Motor telah memenangi dua daripada tiga anugerah kereta, trak dan utiliti terbaik Amerika Utara.
Pikap kompak Maverick kepunyaan syarikat tersebut memenangi trak tahun ini, manakala SUV off-road, Bronco memperoleh utiliti tahun ini. Kereta kompak Civic rekaan semula Honda memenangi kereta tahun ini.
Seramai 50 wartawan automotif dari AS dan Kanada adalah hakim untuk tiga anugerah, yang diumumkan setiap Januari. Mereka dipilih daripada berpuluh-puluh calon dan mesti baharu serta banyak diubahsuai untuk tahun model semasa. Penghasil kereta sering menggunakan anugerah dalam pengiklanan.
Para hakim menilai finalis melalui nilai, inovasi, reka bentuk, prestasi, keselamatan, teknologi dan kepuasan pemandu. Proses pemilihan bermula musim panas lalu.
Sebagai tambahan kepada Bronco, finalis utiliti tahun ini termasuk GV70 daripada jenama mewah Hyundai, Genesis dan SUV elektrik Hyundai, Ioniq 5.

Finalis trak termasuk Maverick serta pesaing pikap kecil utamanya, Hyundai Santa Cruz. Turut disertakan ialah pikap Rivian R1T daripada permulaan kende-raan elektrik.
Sebagai tambahan kepada Civic, finalis kereta termasuk sedan elektrik, Lucid Air dan kereta sport Volkswagen, Golf GTI dan R.
Kenderaan elektrik adalah finalis dalam ketiga-tiga kategori tahun ini, tetapi hakim memilih kenderaan hibrid berkuasa gas atau gas-elektrik.
Penganalisis utama Guidehouse Insights E-Mobility, Sam Abuelsamid, yang bukan dalam kalangan juri, berkata kemungkinan harga yang lebih berpatutan bagi Civic dan Maverick menarik minat kumpulan tersebut.
Maverick, dengan rangkaian kuasa hibrid, bermula pada AS$19,995, manakala harga asas Civic ialah AS$22,350.
Kenderaan Lucid, Air Dream bermula pada AS$169,000, tetapi versi berharga rendah akan datang. R1T Rivian mempunyai harga permulaan AS$67,500. Harga tidak termasuk kredit cukai persekutuan atau negeri untuk kenderaan elektrik. – AP