TOPSHAM, 3 JUN – Sebuah trak raksasa bertemakan udang karang membuat persembahan di Maine terkena talian elektrik udara, menyebabkan beberapa tiang utiliti tumbang dan dua orang dimasukkan ke hospital, menurut polis. Beberapa orang lain mengalami kecederaan ringan.
Pertunjukan trak raksasa diadakan di Tapak Pameran Topsham pada Sabtu lalu apabila sebuah kenderaan yang dinamakan Crushstation melantun dari sebuah tanjakan, terbang di udara dan terkena talian elektrik.
Video menunjukkan orang ramai berlari panik ketika talian yang tersangkut mencetuskan siri kejadian di mana beberapa tiang utiliti dan transformer jatuh berhampiran tempat duduk penonton, dengan wayar hidup di atas tanah.
Dua orang dibawa ke hospital dan beberapa yang lain mengalami kecederaan ringan, lapor polis Topsham. Pemandu trak tersebut tidak mengalami kecederaan.
“Saya masih terkejut,” kata Mike Hersom, yang sedang menyaksikan pertunjukan bersama anaknya yang berusia tiga tahun dan mengelak transformer yang jatuh.
Dia berkata dia menonton dengan rasa tidak percaya seketika sebelum bertindak untuk berpindah; dia melihat betapa dekatnya transformer itu dengan dirinya dan anaknya apabila dia menonton video tersebut. “Apabila saya menonton video itu, ia seperti, “Ya Tuhan. Ia memang gila,” katanya kelmarin.
Trak raksasa yang berpusat di Maine itu berbentuk seperti udang karang dan dinamakan Crushstation, permainan kata dari perkataan krustasea.
Pemilik dan penganjur tidak segera membalas e-mel untuk mendapatkan ulasan. – AP


