THESSALONIKI, 19 OGOS – Tiga orang mati terbakar di Greece kelmarin apabila sebuah trak merempuh beberapa buah kereta yang berhenti di stesen tol lebuh raya, kata polis, dengan tujuh orang lagi termasuk kanak-kanak kecil dikejarkan ke hospital.
Kemalangan itu berlaku di lebuh raya Egnatia berhampiran bandar timur laut Xanthi, beritahu jurucakap polis kepada AFP.
Dua lelaki dan seorang wanita dari Albania terbunuh, manakala seorang wanita Albania berjaya menyelamatkan diri dari kenderaan yang terbakar telah dirawat di hospital.
Kereta kedua bersama empat sekeluarga dari Greece, termasuk dua kanak-kanak berusia enam dan empat tahun, turut terlibat dalam kemalangan itu.
Mereka juga dibawa ke hospital, begitu juga dengan dua lelaki Bulgaria di dalam
trak itu. Pihak polis masih menyiasat punca nahas.
Greece mempunyai rekod kematian jalan raya ketiga terburuk dalam Kesatuan Eropah tahun lepas, menurut data awal, di belakang Romania dan Bulgaria.
Jumlah kematian meningkat daripada 61 orang setiap juta pada 2023 kepada 64 orang. – AFP


