Oleh Sim Y. H.
TUTONG, 28 FEB – Seorang lelaki warganegara Indonesia yang berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung selepas trak yang dipandunya tersasar lalu merempuh besi penghadang jalan raya di kawasan KM 61.8 Kampung Bukit Beruang Daerah Tutong, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei, di sini, hari ini, menyatakan bahawa laporan kemalangan disahkan diterima oleh Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sekitar jam 8:30 pagi.
Mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari Daerah Belait menghala ke Daerah Tutong.
Menurut pihak polis, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas.
Hasil daripada pemeriksaan awal yang dijalankan, dipercayai mangsa yang maut mengalami serangan jantung semasa dalam pemanduan dan penyebab kepada kemalangan yang berlaku.
Walau bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berlaku.