HAMILTON, 22 MEI – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menyatakan bahawa hanya sebilangan kecil trak bantuan dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan Kerem Shalom yang dikawal Israel, namun tiada bekalan yang dapat diagihkan kerana faktor keselamatan, lapor agensi Anadolu.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata kepada wartawan bahawa semua bekalan bantuan yang melepasi sempadan itu masih berada di kawasan pemunggahan Kerem Shalom kerana ‘pihak berkuasa Israel hanya membenarkan pasukan pertubuhan itu melalui satu laluan yang sesak dan dianggap tidak selamat serta berisiko tinggi berlaku kejadian rompakan, memandangkan penduduk Gaza telah lama berada dalam keadaan terdesak akibat sekatan Israel selama lebih 11 minggu.’
“Barangan penting lain seperti produk kebersihan dan bahan api juga tidak dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa Israel,” kata Dujarric.
Beliau menegaskan bantuan itu masih terkandas walaupun trak telah dimuatkan dan bersedia untuk bergerak.
“Sehingga tengah hari kelmarin, tiada maklumat yang diterima oleh rakan sekerja kami di Baitulmuqaddis bahawa trak bantuan telah keluar dari Kerem Shalom,” katanya.
Dujarric menyifatkan situasi itu sebagai ‘berubah-ubah’ dan menegaskan PBB terus berunding dengan pihak Israel ‘bagi mengenal pasti laluan terbaik keluar dari Kerem Shalom ke Gaza untuk memastikan aliran bantuan tidak terganggu atau terhenti.’ – Bernama
