Thursday, October 24, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trami: 14 maut, ribuan dipindahkan

    MANILA, 23 OKT – Penyelamat Filipina meredah banjir setinggi paras dada hari ini untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap akibat Ribut Tropika Trami, yang telah mengorbankan 14 orang dan memaksa beribu-ribu orang berpindah ketika ia bergerak ke arah pantai timur.

    Hujan lebat yang didorong oleh ribut telah menjadikan jalan raya dinaiki air, menenggelamkan seluruh kampung dan menimbus beberapa buah kenderaan.

    Kira-kira 32,000 orang telah meninggalkan rumah mereka di utara Filipina, kata polis, ketika ribut itu menghampiri pulau utama Luzon di negara Asia Tenggara itu.

    Di wilayah Bicol, kira-kira 400 kilometer tenggara ibu kota Manila, Paras air banjir yang tinggi telah menyukarkan usaha menyelamat, kata polis.

    “Kami menghantar pasukan penyelamat polis tetapi mereka berdepan masalah untuk memasuki beberapa buah kawasan kerana banjir tinggi dan arusnya begitu deras,” kata jurucakap polis wilayah itu, Luisa Calubaquib, kepada AFP.

    Seramai 11 orang mati lemas dalam banjir di bandar Bicol, Naga, kata ketua polis tempatan, Erwin Rebellion, kepada AFP.

    Sementara itu, seorang wanita warga emas mati lemas di wilayah Quezon tenggara ibu negara itu, manakala seorang kanak-kanak kecil turut terbunuh selepas terjatuh ke dalam arus banjir, kata polis.

    Pejabat pertahanan awam Manila turut melaporkan seorang lagi maut akibat dihempap dahan pokok tumbang. – AFP

    Gambar menunjukkan kenderaan terbalik akibat banjir dan hujan lebat yang dibawa oleh Ribut Tropika Trami di bandar Oas, wilayah Albay Selatan Manila pada 23 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda