JINAN – Kad tidak lagi perlu digunakan untuk mengeluarkan wang apabila mesin pengimbas wajah mula beroperasi di tiga cawangan Bank Pertanian China (ABC) di bandar ini.
“Salah satu daripada kelebihan yang dapat dimanfaatkan dengan penggunaan teknologi pengimbas wajah ini adalah individu kini tidak perlu untuk membawa sebarang kad untuk melakukan sebarang transaksi di bank yang merangkumi khidmat penyimpanan dan pengeluaran,” jelas Xu Yanru, pengurus ABC Helping Road di Jinan, ibu kota wilayah Shandong di timur China.
ABC telah memperkenalkan teknologi pengimbas wajah di Mesin Teller Auto-matik (ATM). Di samping itu bank lain seperti Bank Pembinaan China dan China Merchants Bank juga turut memperkenalkan teknologi yang sama di perkhidmatan ATM mereka.
“Apa yang perlu anda lakukan adalah menekan butang pengimbasan wajah di mana ia akan mengimbas wajah anda di kamera, masukkan nombor telefon ataun nombor ID dan masukkan jumlah transaksi yang diinginkan berserta dengan kata laluan peribadi,” jelas Pengurus Perbankan di ABC, Zhang Baojing.
Zhang menjelaskan bahawa teknologi itu dapat mengelakkan daripada risiko penyalinan kad bank secara haram dan mengurangkan masalah kad yang ada kalanya ditelan oleh mesin ATM.



“Ia setentunya menjadi satu pembaharuan yang dapat memudahkan rutin kehidupan pelanggan,” jelas Zhang.
Kakitangan teknologi di ABC menjelaskan bahawa kaedah pengimbasan wajah adalah selamat untuk digunakan kerana ia memerlukan nombor ID atau nombor telefon serta kata laluan peribadi para pengguna.
Di samping itu, gambar pelanggan juga turut dibandingkan dengan gambar yang terdaftar di sistem keselamatan awam. Kamera inframerah juga berfungsi untuk mengurangkan risiko terhadap sebarang aktiviti haram.
Menurut portal web Sohu.com, ABC mengehadkan jumlah pengeluaran harian kepada 3,000 yuan (AS$357) sehari dan bank tersebut juga merancang untuk memperkenalkan teknologi pengimbas wajah di 24,064 cawangan di seluruh negara itu.
ABC bukan merupakan bank pertama di China yang memperkenalkan teknologi pengimbas wajah. Pada tahun 2015, China Merchants Banks telah mula memperkenalkan teknologi tersebut di selatan metropolis, Shenzhen.
Tahun lalu, ia memperluaskan lagi perkhidmatan di lebih 1,000 mesin ATM di 106 bandar di China.
Namun perkhidmatan tersebut juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah seperti kos penyelenggaraan yang agak tinggi.
“Ramai warga emas mungkin sukar untuk mengadapatasi teknologi tersebut dalam kehidupan mereka atau kurang kepercayaan untuk menggunakan perkhidmatan tersebut bagi tujuan pengeluaran wang,” jelas Yang Gan dari Institut Penyelidikan Smart City di Guizhou yang merupakan wilayah di barat China.
Namun Yang menjelaskan bahawa penerimaan masyarakat terhadap teknologi itu setentunya mudah diterima oleh individu yang selesa untuk mengamalkan gaya hidup moden.
“Pada masa hadapan, khidmat pembayaran melalui teknologi pengimbas wajah dan secara mudah alih dengan bantuan telefon bimbit akan menjadi satu kelengkapan bagi memudahkan kehidupan,” jelas Yang.
Di China, perkembangan pesat terhadap teknologi pengimbasan wajah telah diaplikasikan secara inovatif. Temple of Heaben di Beijing telah mengaplikasikan perkhidmatan teknologi itu di tandas bagi mencegah kecurian terhadap kertas tandas.
Sementara di bandar Jinan, polis trafik telah memasang pengimbas wajah di kawasan persimpangan untuk menangkap sebarang pejalan kaki yang melintas di tempat yang tidak dibenarkan.
Di samping itu, beberapa buah pasar raya juga turut menggunakan teknologi tersebut di kawasan penyimpanan beg.
Beijing Normal University telah memperkenalkan teknologi pengimbas wajah pada April lalu dan memperluaskannya di semua asrama khususnya semasa cuti musim panas. Menurut laporan di universiti menjelaskan bahawa sebanyak 70 peratus wajah pelajar telah direkodkan dan pengimbasan wajah adalah diwajibkan bagi setiap pelajar baru. – Xinhua