Monday, February 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Transformasi digital dipercepat untuk generasi akan datang

    Oleh Yusrin Junaidi –

    Perkembangan teknologi digital di Brunei telah menunjukkan kemajuan yang signifikan dalam beberapa tahun terakhir.

    Beberapa inisiatif utama yang mendukung transformasi digital di negara ini meliputi pelbagai bahagian untuk menjadikan negara ini sebagai masyarakat yang lebih pintar dan terhubung melalui teknologi digital.

    PENGEMBANGAN START-UP TEKNOLOGI

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga mendukung pengembangan perusahaan teknologi dan start-up digital melalui pelbagai program inkubasi dan akselerator, dengan tujuan meningkatkan kemampuan inovasi dan daya saing.

    PENDIDIKAN DIGITAL

    Kementerian Pendidikan juga turut berusaha untuk mengintegrasikan teknologi dalam pendidikan yang menjadi keutamaan. Banyak institusi pendidikan di negara ini mula menawarkan kursus teknologi informasi dan pelatihan digital untuk mempersiapkan generasi akan datang menghadapi era digital.

    Dalam dunia digital yang serba pantas hari ini, teknologi memainkan peranan yang semakin penting dalam menyediakan generasi akan datang bagi menghadapi cabaran dan peluang abad ke-21.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN (ADGMIN) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan ke-5 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 16 hingga 17 Januari. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan dan Sistem Perkhidmatan Digital di bawah Kementerian Pendidikan telah mengetengahkan pameran berkaitan Electronic Application System (EASE) untuk mendigitalkan proses bagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai jabatan dalam Kementerian Pendidikan pada 3 Oktober 2024. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Cyber Battle: Capture the Flag merupakan satu pertandingan keselamatan siber oleh IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) juga diadakan bersempena Persidangan Keselamatan Siber Brunei ke-2 (CySec 2024) pada 18 September 2024. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pemangku Setiausaha Tetap, MTIC, Haji Hairol Mohd Daud bin Haji Abdul Karim menyampaikan ucapan semasa Simposium Tadbir Urus AI yang berlangsung di Dewan Kuliah, The Core, Universiti Brunei Darussalam pada 11 Jun lalu. – GAMBAR SERAHAN AITI

    TRANSFORMASI INDUSTRI DAN KEWANGAN

    Brunei juga memfokuskan diri pada penerapan teknologi dalam sektor industri dan kewangan, misalnya dengan memperkenalkan pembayaran digital dan mendorong digitalisasi sektor perniagaan, termasuk pengenalan sistem blockchain dan FinTech.

    Beberapa aspek penting dalam perkembangan terkini era digital di Brunei adalah Inisiatif Negara Pintar dan Transformasi Digital.

    Menerusi Negara Pintar ia bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih pintar melalui penggunaan teknologi. Kerajaan Brunei telah melancarkan pelbagai program transformasi digital untuk meningkatkan perkhidmatan awam, memperbaiki sistem pendidikan dan memudahkan interaksi antara kerajaan dan rakyat.

    Salah satunya adalah penggunaan aplikasi digital untuk perkhidmatan kerajaan yang lebih efisien, seperti aplikasi e-Darussalam yang memudahkan urusan rasmi.

    Selain itu negara juga terus memacu transformasi dan pendigitalan di semua sektor utama dengan usaha berterusan oleh pihak berkepentingan untuk membangunkan dua projek infrastruktur utama dalam perjalanan pendigitalan negara iaitu Hab Pembayaran Digital dan Identiti Digital.

    Hab Pembayaran Digital akan menyokong pemindahan pembayaran segera antara pelbagai penyedia pembayaran, manakala Digital Identiti merupakan sebuah platform yang memanfaatkan arkitektur blockchain untuk menyediakan identiti self-sovereign yang selamat serta menyediakan perkhidmatan elektronik Kenali Pelanggan Awda (e-KYC).

    TEKNOLOGI AI

    Melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), kementerian akan menumpukan kepada membangunkan rancangan fasa pendigitalan negara yang seterusnya.

    Perkara itu antara yang diketengahkan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa Sesi Perjumpaan Muhibah, MTIC bagi tahun 2025.

    Yang Berhormat Pengiran Dato berkata, sektor berkaitan infokomukasi, Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI).

    Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan AI adalah pemangkin utama kepada transformasi digital dan telah menarik perhatian orang ramai.

    Seiring dengan manfaat yang boleh diperoleh daripada kemajuan AI, cabaran-cabaran yang muncul dari segi mengadapatasi teknologi itu dan juga penggunaannya perlu ditangani dengan sewajarnya seperti jenayah penipuan, deepfake dan sebagainya.

    Selain itu, pertumbuhan pesat teknologi AI memerlukan penyediaan rangka kerja kawal selia yang teratur bagi memastikan isu-isu etika penggunaannya.

    Ke arah itu, kementerian tersebut melalui Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah pun menubuhkan Kumpulan Kerja Urustadbir dan Etika AI pada bulan Mei 2024.

    Melalui kumpulan kerja itu, dapat menghasilkan satu dokumen Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI bagi Negara Brunei Darussalam.

    Garis panduan tersebut akan membantu dalam mengawal selia dan menangani isu etika penggunaan AI, berikutan penggunaan alat AI generatif yang semakin meningkat.

    Selain berperanan sebagai bahan rujukan asas bagi organisasi mahupun individu dalam membentuk, membangun dan menggunakan AI, dengan mengambil kira kerumitan teknologi dan risiko berkaitan sistem AI.

    KESELAMATAN DAN ANCAMAN SERANGAN SIBER

    Menyentuh mengenai isu-isu keselamatan, kepentingan keselamatan siber terhadap setiap individu juga turut diberikan keutamaan di negara ini.

    Kemajuan pesat teknologi serta penggunaannya bukan hanya banyak memberikan manfaat tetapi juga membuka ruang baharu untuk ancaman dan serangan siber terhadap perlindungan data, privasi dan keperluan keselamatan setiap orang khususnya di Negara Brunei Darussalam.

    Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-35 tahun 2019, iaitu, “keselamatan siber mesti diberikan perhatian khusus. Negara perlu menangani isu kese-lamatan siber, kerana kesan negatif siber boleh menyerap ke dalam negara, masyarakat dan keluarga.”

    Berhubung dengan ini, pihak Cyber Security Brunei (CSB) selaku agensi yang bertanggungjawab terus giat melaksanakan keperluan-keperluan yang termaktub di dalam Akta Keselamatan Siber 2023 bagi memastikan perlaksanaan dan penyelarasan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

    Dalam pada itu jua, sebagai inisiatif berterusan yang akan melengkapkan Akta Keselamatan Siber 2023, dengan adanya Perintah Perlindungan Data Peribadi (PDPO) Negara Brunei Darussalam nanti akan dapat menyumbang ke arah ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan di Negara Brunei Darussalam.

    Berdasarkan kepada perangkaan yang sedia ada, kes berkaitan siber di sepanjang tahun 2024 telah mencatatkan sejumlah 1,364.

    Dalam hal ini, sebagai usaha berterusan bagi mempertingkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan keselamatan siber serta memahami akan risiko keselamatan penggunaan berbagai-bagai platform siber yang tersedia ada dalam talian, pihak CSB telah proaktifnya telah mengendalikan pelbagai inisiatif-inisiatif dan kempen-kempen kesedaran awam.

    Sepanjang tahun 2024, sejumlah 112 taklimat dan program kesedaran melalui agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, sekolah-sekolah, komuniti-komuniti, rampai pagi dan setiap individu telah dilaksanakan dengan mencatatkan kehadiran kira-kira 9,513 orang.

    Selain daripada itu, program-program kesedaran dan pembarigaan juga secara aktifnya disalurkan melalui media-media sosial CSB seperti Instagram, Facebook dan X.

    Dalam usaha memberikan tumpuan yang menyeluruh akan kepentingan keselamatan siber pihak CSB juga amat memberikan perhatian akan tenaga-tenaga pakar yang berkemahiran dalam menangani isu-isu keselamatan siber berkenaan.

    Kini, CSB mempunyai seramai 83 pakar yang bertanggungjawab dalam Incident Response and Managed Security Services, Digital Forensics, Security Research, Cyber Operations and Intelligence dan juga dalam bidang teknikal lainnya.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dalam ucapannya mengatakan bahawa keselamatan siber adalah lebih daripada sekadar teknologi, ia juga tentang memupuk budaya kewaspadaan.

    Ketika ancaman berkembang, kewaspadaan akan sentiasa menjadi salah satu pertahanan paling kuat dalam melindungi apa yang paling berharga.

    Secara keseluruhannya, Brunei sedang mempercepatkan proses digitalisasi untuk memastikan negara ini tidak ketinggalan dalam perkembangan dunia digital yang semakin pesat.

    Dengan sokongan daripada kerajaan dan pelaburan dalam infrastruktur serta kemahiran digital, Brunei berada di landasan yang baik untuk menjadi pemain utama dalam ekonomi digital global.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda