Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Untuk menjadi rantau lebih dinamik, berangkaian serta inovatif menjelang 2025, ASEAN perlu merangkul teknologi digital di mana perubahan landskap sektor ICT menandakan perlunya untuk bergerak ke arah transformasi digital dan inovasi.
Dalam hubungan itu, Pelan Induk Digital ASEAN 2025 dijangka akan dilancarkan pada hujung 2019 di mana ia diharap akan menumpukan kepada usaha menerajui aktiviti-aktiviti ekonomi baharu serta merealisasikan potensi ASEAN sepenuhnya.
Selaras dengan agenda Digital ASEAN itu, Negara Brunei Darussalam juga bergerak ke arah inisiatif-inisiatif dasar transformasi digitalnya tersendiri bermula hampir 20 tahun lalu pada 2000 di mana Majlis IT Brunei (BIT Council) di bawah pemanduan Kementerian Perhubungan memulakan perjalanan pelan digital negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dalam ucaptama di Forum Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD) 2019 yang berlangsung di Hotel Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.
Pada hari ini, perjalanan itu terus dilaksanakan dan berubah yang mana ia telah mencapai beberapa mercu tanda signifikan dalam agenda transformasi digital negara termasuk penjenamaan Kementerian Perhubungan menjadi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi pada 15 Disember 2018.

Dasar inisiatif baharu Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi mengetengahkan komitmennya untuk memastikan peningkatan keperluan sektor pengangkutan dan infokomunikasi dapat diberikan lebih keutamaan, pembangunan diterajui oleh industri serta dapat mempercepatkan pengge-rakan Brunei Darussalam ke arah status sebuah negara pintar.
Menurut beliau lagi, usaha itu adalah selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap pembangunan industri digital di mana Baginda menekankan perlunya untuk meneroka ekonomi digital dan bagi penyertaan semua pihak yang berkepentingan dalam sektor awam dan swasta, masyarakat, ahli akademik serta graduan dalam sama-sama bergerak menuju ke arah sebuah negara berasaskan ilmu pengetahuan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib dalam ucaptama berkenaan menyatakan bahawa, baru-baru ini, Baginda Sultan telah memperkenankan bagi penubuhan Majlis Ekonomi Digital (DEC) di mana sebuah pelan induk ekonomi digital sedang digubal bagi tujuan untuk menjadikan Brunei sebuah negara pintar.
Mengambil alih peranan terdahulu Majlis BIT, objektif utama majlis baharu berkenaan adalah untuk memberikan pemanduan strategik dan kepimpinan bagi dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif di peringkat negara dengan majlis itu, pada masa ini, diterajui bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua serta Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Beliau juga menyatakan bahawa selaras dengan titah Baginda Sultan, pihak kementeriannya dengan majlis berkenaan sedang merangka draf Pelan Induk Ekonomi Digital dan juga draf Peta Jalan Negara Pintar bagi Brunei Darussalam.
Di sinilah, jelasnya, penglibatan semua pihak yang berkepentingan dengan menggunakan pendekatan seluruh negara (whole of nation) termasuk sektor swasta adalah amat penting dan sehubungan itu, Sekretariat Majlis Ekonomi Digital telah mengadakan retreat pertamanya yang membawa bersama sektor swasta dan agensi-agensi kerajaan untuk berkongsi serta menerangkan inisiatif-inisiatif masing-masing dan juga input ke dalam draf Pelan Induk Ekonomi Digital.
Menyentuh mengenai usaha meneroka potensi ekonomi digital, beliau menyatakan bahawa negara berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu yang memerlukan pendekatan baharu dan salah satu cabaran berkenaan ialah jurang digital.
Beliau menjelaskan bahawa menurut laporan ITU State of Broadband 2019, jurang digital tahap kedua iaitu di mana jurang masih terus wujud walaupun masalah jurang akses infrastruktur telah ditangani.
Beliau menerangkan, jurang itu merujuk kepada struktur-struktur tertanam yang lain seperti had daripada segi kemahiran, literasi, pengayaan pengguna dan ketersediaan kandungan relevan.
Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa perusahaan tempatan boleh memainkan peranan penting dalam sama-sama melengkapi usaha pihak kerajaan untuk menangani jurang berkenaan dengan menawarkan lebih banyak perkhidmatan dan produk melalui teknologi digital di mana ia boleh merangsang lebih banyak pengguna sedia ada dan baharu untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital.
Manakala itu, dalam usaha untuk mengurangkan jurang daripada segi kemampuan dan akses digital, pada Februari 2019, kerajaan telah mengumumkan penyatuan rangkaian infrastruktur bagi semua operator telekomunikasi yang sedia ada di negara ini di bawah sebuah syarikat baharu ditubuhkan, Unified National Networks Sdn Bhd (UNN).
Dengan perkembangan dasar baharu itu, industri ICT negara akan bergerak ke arah penyediaan pakej-pakej perkhidmatan yang lebih kompetitif dan inovatif, menerajui pembangunan sektor ICT negara yang kritikal bagi menjana sebuah ekosistem bagi menyokong ekonomi digital serta transformasi digital negara. Dalam hubungan itu, beliau menyarankan adalah amat mustahak bagi semua untuk mempersiapkan komuniti perniagaan dan juga kerajaan supaya lebih bersedia dan dilengkapi dengan sesuai bagi ekonomi digital.