Transformasi Felda Go Global jadi contoh kepada masyarakat

KUALA LUMPUR – Perjalanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang ditubuhkan pada 1 Julai 1956 untuk membangunkan tanah dan penempatan semula dengan objektif membasmi kemiskinan melalui penanaman sawit dan getah, bukanlah semudah yang disangka.

Berkongsi sejarah, jatuh bangun serta perspektif masyarakat dahulu dan sekarang terhadap institusi itu, Timbalan Pengarah Besar Felda (Pembangunan Ekonomi), Ab. Ghani Mohd Ali mengakui di peringkat awal penubuhannya di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956, ramai pihak yang kurang senang malah mencemuh.

“Sebelum Felda maju seperti hari ini, ramai mencemuh kerana pembangunan Felda pada masa itu dengan jalan yang berdebu, tiada bekalan elektrik dan air serta pembinaan rumah yang hanya dengan satu atau dua bilik sahaja. Masyarakat melihat Felda sebagai sesuatu yang asing kerana datang berkampung (di tanah rancangan).

“Tetapi selepas tahun 1980-an Felda telah membangun dengan begitu rancak dan persepsi orang luar terhadap Felda turut berubah ditambah pula dengan adanya dasar pembangunan bandar di kawasan Felda itu sendiri,”katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Felda dahulu dan sekarang

Pendek kata Felda yang turut dikenali sebagai legasi Tun Razak ini, jauh berbeza dahulu dan sekarang. “Buah tangan” yang diilhamkan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein itu kini bukan sahaja menjadi kebanggaan warga peneroka untuk terus bersaing dan mengorak langkah dalam pelbagai lapangan, bahkan masyarakat luar turut mengaguminya.

Suasana awal aktiviti membaja dan mengait kelapa sawit oleh warga peneroka di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). – Bernama
Suasana awal aktiviti membaja dan mengait kelapa sawit oleh warga peneroka di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). – Bernama
Suasana ketika pembukaan awal tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Selepas tahun 1980-an Felda telah membangun dengan begitu rancak dan persepsi orang luar terhadap institusi ini turut berubah ditambah pula dengan adanya dasar pembangunan bandar di kawasan Felda itu sendiri. – Bernama
Suasana ketika pembukaan awal tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Selepas tahun 1980-an Felda telah membangun dengan begitu rancak dan persepsi orang luar terhadap institusi ini turut berubah ditambah pula dengan adanya dasar pembangunan bandar di kawasan Felda itu sendiri. – Bernama
Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (empat, kiri) mengilhamkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi membantu golongan miskin dan membangunkan kawasan luar bandar serta meningkatkan ekonomi negara. Felda yang turut dikenali sebagai legasi Tun Razak itu kini bukan sahaja menjadi kebanggaan warga peneroka untuk terus bersaing dan mengorak langkah dalam pelbagai lapangan, bahkan masyarakat luar turut mengaguminya. – Bernama
Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (empat, kiri) mengilhamkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi membantu golongan miskin dan membangunkan kawasan luar bandar serta meningkatkan ekonomi negara. Felda yang turut dikenali sebagai legasi Tun Razak itu kini bukan sahaja menjadi kebanggaan warga peneroka untuk terus bersaing dan mengorak langkah dalam pelbagai lapangan, bahkan masyarakat luar turut mengaguminya. – Bernama

Lebih membanggakan, negara hari ini semakin tertumpu di atas beberapa kejayaan yang diraih Felda. “Dahulu kita tengok Felda hanya fokus kepada perkara asas iaitu pembangunan sawit, getah, koko dan tebu. Kini, sebagaimana teras atau visi ‘Felda go global’ fokus masih pada sawit dan getah namun kita terlibat dalam semua peringkat.

“Dari peringkat huluan sehinggalah hiliran, maksudnya dari peringkat asas menanam sawit sehingglah memasarkan sawit dan menjual bahan-bahan berasaskan sawit sebelum ini dijalankan Felda namun sekarang kita sudah ada Felda dan Felda Global Ventures (FGV). Melalui dua entiti ini, kita dapat meningkatkan imbangan dan pembayaran kepada peneroka serta industri hiliran yang diceburi FGV khususnya,” ujar beliau.

Adakah Felda berjaya mencapai matlamat Allahyarham Tun Razak bagi membantu golongan miskin dan membangunkan kawasan luar bandar serta meningkatkan ekonomi negara.

Menjawab persoalan itu Ab. Ghani berkata bagi peringkat awal membasmi kemiskinan ia boleh disifatkan tercapai sepenuhnya akan tetapi usaha pembangunan masih perlu diteruskan.

“Kita bukan ‘maintain’ tapi perlu ‘sustain’ yang bermaksud diteruskan dengan ada nilai tambah. Peringkat awal penubuhan Felda amat berjaya dan tercapai sepenuhnya dan legasi ini diteruskan oleh anak Allahyarham sendiri iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan membuat nilai tambah untuk ‘sustain’ Felda yang ketika ini mencecah usia 61 tahun,” jelas beliau.

Generasi muda

Menekankan generasi muda khususnya generasi ketiga Felda hari ini memainkan peranan penting dalam membawa Felda go global, beliau berkata ia berkait rapat dengan sejarah awal Felda itu sendiri di mana syarat kemasukan ke Felda ialah berumur lebih 18 tahun dan kurang 45 tahun dan berkahwin.

Katanya, golongan muda penting untuk tujuan ‘sustain’ Felda di samping membawa hala tuju Felda berteraskan pembangunan tanah yang termaktub dalam ‘Land Development Ordinance of 1956’ dan berasaskan konsep ‘Group Settlement Act’ atau Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

“Kita teroka bidang yang perlu kita kembangkan dan ia bukan bersandarkan minat semata-mata tetapi perlu berasaskan pelan yang dirancang dan teratur. To make the planning are move adalah disiplin and to make sure semua berjalan lancar adalah sokongan daripada kerajaan. Gabung jalin belia setempat, disiplin dan sokongan pemimpin menjadikan program ini berjaya.

“Perkara ini tidak boleh diketepikan di mana pemerintah perlu membuat dasar yang terang dan jelas, manakala belia atau generasi muda Felda perlu memahami hasrat dan memberi penekanan terhadap disiplin dan bukan sekadar minat. Inilah yang menjadikan Felda berjaya sehingga hari ini,” katanya.

Turut mengaitkan Felda dengan pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) serta generasi baru, Ab. Ghani berkata golongan itu perlu faham bagaimana Felda itu diwujudkan dan ke arah mana Felda perlu menuju dalam mencapai wawasan berikutnya iaitu 100 tahun Felda. “Ini kerana jika dipersoalkan organisasi mana yang boleh bertahan kukuh sehingga kini, sejak sebelum merdeka (seperti Felda). Untuk itu kita mesti menanam wawasan termasuklah dalam TN50 untuk membawa Felda sebagai wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air (Abata),” jelas beliau.

Kejayaan Felda

Pembangunan negara yang pesat turut memberi kelebihan kepada Feldam sebagai contoh, rancangan Felda telah dihubungi dengan beberapa lingkaran lebuh raya sebagai contoh laluan Felda Chiku dan Kechau. Ia bukan sahaja memudahkan perjalanan pengguna bahkan membuatkan orang ramai ?celik mata’ kerana tiada lagi istilah Felda di ceruk hutan sebaliknya Felda kini adalah jajaran lebuh raya.

Beliau pada masa sama turut menyentuh mengenai pencapaian anak Felda yang memegang portfolio penting dalam kerajaan dan swasta serta anak Felda di perantauan yang terdiri dari golongan perofesional.

“Dalam usaha membangunkan minda masyarakat Felda, skim pendidikan dan skim ‘tuition’ Felda masih lagi berterusan malah setiap tahun tumpuan diberikan terhadap program bagi menghantar 10 orang anak Felda ke luar negara untuk kursus profesional dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Felda.

“Kesimpulannya, pembangunan fizikal dan minda Felda bukan memakan masa setahun dua tetapi dari generasi ke generasi. Disebabkan itulah, visi Felda go global perlu menjadi contoh kepada masyarakat luar bandar serta menjadi satu pembangunan Abata.

Mengenai Ekspresi Felda Negaraku Malaysia yang akan berlangsung di Putrajaya sempena Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan mulai 21 hingga 23 Julai ini beliau berkata ia adalah usaha murni kerajaan dalam menghargai golongan peneroka yang telah melalui suka duka bergelar anak Felda.

Menyifatkan program itu sebagai platform yang mengangkat kejayaan Felda serta warganya dalam pelbagai lapangan, beliau pada masa sama berharap agar Felda akan terus menjadi wadah perjuangan untuk membangunkan masyarakat khususnya ekonomi orang Melayu. – Bernama