Thursday, January 30, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Transformasi pembangunan simbolik Tahun Ular

    KUCHING, 27 JAN – Sifat kebijaksanaan, gerak hati dan transformasi yang menjadi simbolik Tahun Ular menurut kalendar Cina, wajar dihayati oleh rakyat Sarawak untuk memacu agenda pembangunan negeri, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Menerusi perutusan Tahun Baharu Cina, beliau berkata sifat ini penting untuk mengharungi peluang dan cabaran ketika negeri terus maju dan rakyatnya merenung kembali masa lepas sambil melangkah ke hadapan dengan kesedaran dan empati.

    “Ia tahun yang dinamik untuk belajar daripada masa lepas. Kita semua perlu memiliki sifat-sifat ini untuk memanfaatkan sepenuhnya perjalanan sepanjang tahun baharu yang mungkin dipenuhi peluang serta cabaran,” katanya.

    Abang Johari berkata inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan di Sarawak ialah bukti kepada transformasi itu, apabila negeri ini memulakan 2025 dengan langkah yang baik menerusi penghantaran pertama metanol yang dihasilkan di Bintulu ke China pada 14 Januari lepas.

    “Ia dapat dicapai selepas Sarawak Petchem, sebuah syarikat petrokimia milik penuh entiti Sarawak, berjaya membangunkan kilang metanol di Tanjung Kidurong, Bintulu yang menjadi lambang tekad kita untuk memajukan sektor hiliran sumber gas asli,” katanya.

    Abang Johari berkata penghasilan dan penghantaran metanol itu ialah langkah pertama perjalanan Sarawak untuk memanfaatkan lebih banyak gas sebagai bahan mentah bagi menghasilkan produk lain serta menjana tenaga untuk merangsang ekonomi negeri berkenaan. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada 26 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda