KUCHING, 8 OKT – Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa penjawat awam negeri melakukan transformasi struktur dan pemikiran bagi memastikan perkhidmatan awam kekal relevan serta berkesan dalam memacu fasa baharu pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Beliau berkata peranan kerajaan dan agensinya kini berubah daripada sekadar pencipta peluang pekerjaan kepada pemudah cara aktiviti ekonomi yang digerakkan sektor swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Perkhidmatan awam mesti bersedia menyesuaikan pendekatan dan struktur keseluruhannya untuk menjadi rakan strategik kepada sektor swasta.
“Enjin ekonomi perlu digerakkan oleh sektor swasta dan agensi kerajaan yang beroperasi seperti sektor swasta. Dengan cara itu, kita boleh kekal berdaya saing dan pada masa sama memberi pulangan kepada kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata GLC dan agensi kerajaan perlu beroperasi dengan kecekapan seperti sektor swasta, menumpukan kepada produktiviti, pulangan pelaburan serta daya saing bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang dapat dikekalkan.
Abang Johari turut menegaskan disiplin fiskal dan tadbir urus yang mantap amat penting bagi menjamin keutuhan kewangan negeri, sambil menyatakan bahawa penubuhan dana kekayaan berdaulat Sarawak bertujuan melindungi kepentingan generasi akan datang serta mengelak kebergantungan terhadap hutang. – Bernama


