Transformasi sektor perkhidmatan pos

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Tahun 2020 akan menyaksikan Kementerian Penga-ngkutan dan Infokomunikasi melaksanakan salah satu keutamaan strategiknya iaitu pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos.

Pengkorporatan itu dihasratkan akan dapat mentransformasikan sektor perkhidmatan pos menjadi sebuah sektor yang lebih memudah cara perkembangan sosioekonomi melalui perkhidmatan pos yang lebih efisien, berdaya saing, terjamin dan berdaya tahan, menurut Menteri Pengangkutan dan Infokumunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof (gambar bawah) dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Pos Sedunia 2019.

Yang Berhormat Dato dalam kenyataan yang diterima mengatakan inovasi dan pendekatan berteraskan pelanggan perlu ditanamkan dalam kalangan pengendali pos bagi mengukuhkan lagi perkhidmatan sedia ada dan mempelbagaikan lagi produk nilai tambah di masa yang akan datang.

Sehubungan dengan itu, menurutnya, pendekatan itu penting bagi mendukung perkembangan pelbagai aktiviti di sektor ekonomi yang lain dan seterusnya merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Tambah kenyataan itu, tema Sambutan Ulang Tahun Kesatuan Pos Sedunia ke-145 tahun ini ialah Delivering Development iaitu menggambarkan usaha berterusan sektor perkhidmatan pos untuk kekal relevan dalam menghadapi perubahan dan perkembangan sejagat.

Perkhidmatan pos merupakan antara rangkaian perhubungan terbesar dengan lebih 668,000 pejabat pos dan 5.3 juta orang pekerja di seluruh dunia, maka setiap 9 Oktober merupakan hari yang penting bagi meraikan pentingnya peranan pos dalam kehidupan seharian, sama ada bagi tujuan peribadi, perniagaan mahupun rasmi.

Di Brunei, sebanyak 21 buah cawangan pejabat pos telah ditubuhkan di samping wakil-wakil pos yang turut dilantik memberikan perkhidmatan kepada penduduk luar bandar bagi memenuhi tuntutan perkhidmatan sejagat.

Perkhidmatan pos juga terus menekankan komitmen dan dedikasi dalam memudah cara perhubungan orang ramai melalui transformasi digital selain bagi mendukung peningkatan e-dagang antarabangsa di mana Kesatuan Pos Sedunia telah merekodkan peningkatan sebanyak 110 peratus dalam express items sejak 10 tahun yang lalu.

Perkhidmatan pos di negara ini turut mengalami peningkatan 100 peratus dalam jumlah paket dan bungkusan yang dikendalikan dari tahun 2010 sehingga tahun 2018.