LYON, 27 Jun – Pemain bahagian serangan Chelsea, Bertrand Traore, menyertai Lyon dengan nilai 10 juta euro menerusi perjanjian lima tahun, umum kelab Perancis itu, hari ini.
Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas, ketika mengumumkan perpindahan itu berkata, Chelsea juga akan menerima 15 peratus daripada sebarang keuntungan jualan pemain itu pada masa akan datang.
“Saya amat berminat untuk datang ke Lyon,” akui pemain antarabangsa Burkina Faso berusia 21 tahun itu yang bermain buat Ajax selaku pemain pinjaman musim lepas.
“Kami ingin mengucapkan semoga maju jaya buat kerjayanya di Perancis dan berterima kasih kepadanya atas sumbangannya di Chelsea,” menurut kelab London itu dalam satu keterangan.
Beliau berkata, juara England itu juga ada hak untuk menolak jika Traore mahu berhijrah selepas itu.

Traore, yang diberikan penampilan pertama di Chelsea oleh Jose Mourinho dalam Liga Juara-Juara berdepan Maccabi Tel Aviv pada September 2015 adalah pemain kedua ditandatangani Lyon pada musim panas selepas kehadiran pertahanan kiri Brazil, Fernando Marçal dari Benfica.
Lyon memulakan latihan pra musim hari ini namun Traore tidak akan menyertai rakan sepasukan barunya itu sehingga 10 Julai.
Sementara itu, Aulas mengesahkan bahawa Lyon dalam rundingan-rundingan dengan Real Madrid mengenai potensi penandatanganan pemain bahagian serangan Mariano Diaz. – AFP