PARIS, 22 JAN – Seperti kebanyakan anak muda lain, Amelie merasakan bahawa pandemik Covid-19 serta undang-undang sekatan pergerakan yang dikenakan menandakan satu ‘titik tolak’ untuk kesihatan mentalnya.
“Saya berhadapan dengan semua yang saya tekan — dan ia mencetuskan kemurungan yang besar,” pelajar universiti dari Perancis itu memberitahu AFP.
Dia berusia 19 tahun semasa wabak berkenaan meletus pada 2020. Lima tahun kemudian, Amelie masih menerima rawatan untuk kesihatan mentalnya. Dia enggan memberitahu nama penuhnya kerana bimbang ia boleh menjejaskan peluang pekerjaan pada masa hadapan.
Namun bukan dia seorang sahaja yang masih bergelut dengan akibat psikologi yang berpanjangan dari era Covid.
Kajian menunjukkan bahawa golongan muda, yang terpaksa mengasingkan diri pada salah satu masa paling sosial dalam hidup mereka, mengalami masalah kesihatan mental terbesar semasa wabak itu.
Di Perancis, seperlima daripada 18 hingga 24 tahun mengalami episod kemurungan pada 2021, menurut tinjauan oleh agensi kesihatan awam negara itu.
Di Amerika Syarikat pula, 37 peratus pelajar sekolah menengah melaporkan mengalami kesihatan mental yang lemah pada tahun yang sama, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Dalam kajian terbaharu yang terbit dalam jurnal The Lancet Psychiatry , lebih daripada 700,000 remaja Finland juga mengalami kesihatan mental yang lemah.
“Perkadaran peserta yang mengalami kebimbangan umum, kemurungan, dan gejala kebimbangan sosial (telah) meningkat daripada paras pra-Covid-19 kepada 2021 dan kekal pada tahap yang lebih tinggi pada 2023,” menurut kajian tersebut.
Satu cabaran yang panjang
Kesan daripada wabak itu juga dirasai oleh generasi akan datang.
Sesetengah kanak-kanak yang baru bersekolah lima tahun lalu mengalami masalah pembelajaran dan perkembangan emosi.
Satu rumusan kajian ke atas kira-kira 40 penyelidikan merentasi 15 negara yang diterbitkan dalam jurnal Nature Human Behavior pada 2023, mendapati bahawa kanak-kanak masih keciciran dalam pembelajaran mereka.
“Ia adalah masalah generasi sebenar, ” kata pengarang utama kajian itu, Bastian Betthauser.
Masalah-masalah ini juga kelihatan berlarutan walaupun bertahun-tahun selepas Covid.
United Kingdom menyaksikan tahap tidak hadir ke sekolah yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada tahun akademik 2023/2024, menurut Ofsted, agensi pendidikan negara itu, yang mengeluh bahawa ‘perubahan sikap’ pasca-pandemik menyebabkan masalah kehadiran kini ‘dilihat dengan lebih santai.’
Simon Kidwell, pengetua sekolah rendah Hartford Manor di daerah Cheshire barat laut England, juga berkata wabak itu telah mewujudkan ‘cabaran yang panjang.’
“Dari segi akademik, kami mengejarnya dengan cepat,” katanya kepada AFP. Namun, “kami telah melihat satu lonjakan besar dalam bilangan kanak-kanak yang perlu mengakses perkhidmatan kesihatan mental,” tambahnya.
Terdapat juga ‘peningkatan yang besar’ oleh kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas atau memerlukan sokongan tambahan untuk cabaran tingkah laku, kata Kidwell.
Sebaik sahaja mereka mula bersekolah, kanak-kanak yang lebih muda juga menghadapi lebih banyak masalah dengan pertuturan dan bahasa, tambahnya.
Sesetengah kanak-kanak yang mengalami gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD) atau gangguan spektrum autisme (ASD) mungkin mempunyai reaksi yang berbeza terhadap masa sekolah diberhentikan.
Selina Warlow, seorang ahli psikologi yang terlibat dalam dengan kanak-kanak yang terjejas oleh gangguan ini di sebuah klinik di Farnham dekat London, berkata “ramai kanak-kanak autistik (sebenarnya) suka berada dalam sekatan.”
“Persekitaran sekolah (bagi mereka) benar-benar mencabar. Ia bising dan sibuk. Berada dalam kelas dengna 30 kanak-kanak lain adalah sangat sukar bagi mereka,” katanya kepada AFP.
Sehingga ada yang bertanya, “Mengapa saya perlu kembali (ke sekolah)?” Warlow berkata sambil turut menekankan bahawa pelajar berkeperluan khas sukar menyesuaikan diri dengan struktur dan rutin sekolah.
Pandemik juga turut menyebabkan ramai kanak-kanak kecil tidak, “mendapat sokongan awal yang mereka perlukan,” tambahnya.
“Intervensi pada tahun-tahun awal mampu memberi impak yang besar kepada kanak-kanak itu,” tambahnya lagi. – AFP