Jumaat, 21 November 2025
Klik Lagi

    Trauma rumah sendiri

    Sejak kecil, aku belajar bahawa rumah tidak semestinya tempat paling aman di dunia. Bagi orang lain, rumah mungkin lambang kasih dan perlindungan. Tapi bagi aku, rumah adalah medan perang, tempat suara tinggi, pinggan pecah dan tangisan menjadi muzik latar setiap malam.

    Ayah dan ibu tidak pernah benar-benar sehaluan. Hampir setiap hari ada perkara kecil yang mencetuskan pertengkaran besar. Kekadang kerana wang, kekadang kerana salah faham yang tak pernah selesai. Aku masih ingat bunyi kerusi dihempas, barangan rumah bertaburan dan aku berlari menyorok di bilik sambil menutup telinga. Aku fikir kalau aku diam, mereka akan berhenti. Tapi tidak.

    Lama-kelamaan, aku belajar menahan air mata. Aku jadi dewasa terlalu cepat. Aku tahu bila perlu berdiam, bila perlu keluar rumah sebelum keadaan jadi parah. Namun, ia meninggalkan kesan mendalam di dalam diri. Aku jadi takut bila orang meninggikan suara, walaupun hanya bergurau. Aku rasa bersalah setiap kali orang di sekeliling bergaduh, seolah-olah semuanya salah aku.

    Kini, walaupun aku sudah dewasa dan tinggal jauh dari mereka, trauma itu masih membayangi. Aku susah percaya pada konsep ‘rumah bahagia’. Bila ada orang tanya tentang keluarga, aku cuma tersenyum dan menukar topik. Aku tak benci mereka aku tahu mereka juga manusia, terperangkap dalam kesilapan dan emosi. Tapi luka yang ditinggalkan terlalu dalam untuk sekadar dilupakan.

    Aku masih belajar memaafkan, termasuk memaafkan diri sendiri yang tak mampu berbuat apa-apa waktu kecil dulu. Aku berharap suatu hari nanti, aku boleh membina rumah yang benar-benar tenang bukan rumah tanpa bunyi, tapi rumah tanpa rasa trauma dan takut.

    Daniel

    Gambar Freepik

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih Daniel kerana berkongsi kisah yang sangat peribadi dan menyentuh hati. Apa yang Daniel lalui bukanlah satu perkara kecil. Pengalaman membesar dalam ketakutan bagi seorang kanak-kanak bukanlah satu perkara yang dipandang remeh dan harus diberi perhatian yang serius. Apatah lagi ia boleh mengganggu pembesaran dan boleh menghantui seseorang walaupun sudah meningkat dewasa.

    Tindakan Daniel untuk terus memahami, memaafkan dan menerima adalah proses penyembuhan yang sangat besar. Memaafkan bukan bererti melupakan atau membenarkan perbuatan lampau, tetapi memberi ruang untuk awda melepaskan diri dari belenggu emosi yang menyakitkan.

    Ingatlah bahawa awda berhak membina rumah yang diimpikan iaitu rumah yang penuh dengan rasa selamat, dihargai dan difahami. Mulakan dengan menetapkan sempadan sihat dalam hubungan, bercakap dengan seseorang yang boleh dipercayai atau dapatkan sokongan profesional seperti bantuan kaunseling. Ini adalah sangat penting sekiranya awda masih lagi menghadapi trauma akibat bayangan kehidupan dahulu. Dapatkan pemeriksaan psikologi sekiranya ada untuk memastikan bahawa awda telah benar-benar pulih dan mampu meneruskan hidup baharu.

    Apa pun yang telah terjadi, sudah pasti tidak akan boleh diperbaiki lagi. Namun ia tidak bermakna orang di sekeliling Daniel harus melalui kisah tragis yang sama. Masa hadapan masih belum tertulis dan Daniel sudah pasti boleh mengusahakan apa yang terbaik dan memberi kebahagiaan kepada Daniel dan orang-orang sekeliling.

    Kata Kunci

    Popular

    Nasional

    BMC anjur kempen derma darah

    36 individu ditahan dalam Ops Tapis di Sibu

    Lukisan Frida Kahlo dilelong AS$54.6 juta

    Berita Berkaitan

    Cadangan lampu trafik di Pusing Keliling Pengiran Babu Raja

    Baru-baru ini, saya melalui Pusing Keliling Pengiran Babu Raja...

    Jangan guna kanak-kanak dalam kandungan politik – Nancy Shukri

    KUCHING, 16 NOV - Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan bahan...

    Malam Munajat jelas peranan lelaki dalam konsep Qawwam

    Oleh Yusrin Junaidi BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV - Program...

    Meja makan kosong, hati penuh sepi

    Kadang-kadang saya tertanya, bagaimana rasanya hidup dalam keluarga yang...

    Terkini

    BMC anjur kempen derma darah

    Oleh Salawati Haji Yahya BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV –...

    36 individu ditahan dalam Ops Tapis di Sibu

    SIBU, 21 NOV - Polis Daerah Sibu berjaya menahan...

    Lukisan Frida Kahlo dilelong AS$54.6 juta

    NEW YORK, 21 NOV – Sebuah potret diri oleh...

    Gempa bumi magnitud 5.5 landa Bangladesh

    DHAKA, 21 NOV — Gempa bumi dengan magnitud awal...