Oleh Lyna Mohamad
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Pakej-pakej perjalanan istimewa ditawarkan sempena memperingati kerjasama pertama antara Helobn dan Continental Tour & Travel dengan memperkenalkan Travel Helobn, yang dilancarkan baru-baru ini.
Pengasas Travel Helobn dan Pengarah Continental Tour & Travel, Haji Mohamad Fawzi bin Haji Zainal Abidin dalam ucapan ringkasnya pada majlis pelancaran itu berkata bahawa Helobn berbesar hati untuk bekerjasama dengan Continental Tour & Travel. Beliau turut menyampaikan penghargaannya kepada Continental atas kerjasama itu dan berharap ia akan membawa kejayaan bagi mereka menjalin lebih banyak kerjasama pada masa akan datang.
Insurans perjalanan juga termasuk dalam pakej-pakej perjalanan berkenaan dengan Takaful Brunei Am Musafir dipilih sebagai ejen insurans bagi pakej berkenaan. Bercakap bagi pihak TBA pada pelancaran itu, Eksekutif Perhubungan Korporat, Jabatan Korporat dan Pemprosesan TBA, Haji Mohd Asyraf bin Haji Isa mengongsikan bahawa insurans berkenaan meliputi semua perbelanjaan perubatan (yang berkaitan dengan COVID dan bukan COVID) dan penghantaran balik.
Pakej yang dilancarkan itu adalah Pakej Dubai lima hari yang merangkumi tiket penerbangan pergi balik, penginapan empat malam di City Max Hotel Al-Barsha di The Mall, lawatan sehari penuh ke Bandar Abu Dhabi, safari padang pasir, Miracle Garden dan Gedung Membeli-belah Dubai serta pelayaran Dhow dengan kesahan perjalanan dari Ogos hingga Oktober 2022. Pakej-pakej lain adalah Pakej Perjalanan Umrah dan Umrah Dubai Plus.
