Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara ahli Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) di seluruh dunia, telah menyambut Hari Kajicuaca Sedunia, kelmarin, bagi memperingati penubuhan WMO sebagai salah sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan mandat untuk mengamati hal ehwal cuaca, iklim dan sumber air.
Sambutan tersebut adalah juga bagi menghargai sumbangan-sumbangan penting warga dan agensi-agensi Perkhidmatan Kajicuaca dan Hidrologi Kebangsaan (NMHSs) dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia.
Pada tahun ini, Hari Kajicuaca Sedunia diraikan dengan tema Di Barisan Hadapan Kepada Tindakan Iklim.
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha berkata, “Tema ini menekankan akan peranan penting ahli-ahli WMO di dalam menerajui usaha menangani perubahan iklim, dengan menyediakan kaedah-kaedah dan ilmu pengetahuan bagi mendukung langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.
“Perubahan iklim adalah satu fenomena global yang dikaitkan dengan pemanasan suhu udara yang disebabkan oleh kesan rumah hijau skala global. Catatan suhu udara telah menunjukkan peningkatan ketara sejak sekitar tahun 1950an, iaitu berikutan dengan revolusi perindustrian. Perubahan iklim mampu menyebabkan peningkatan paras laut, merubah corak kejadian cuaca dan juga meningkatkan kejadian cuaca ekstrem,” ujar beliau dalam perutusannya bersempena Hari Kajicuaca Sedunia 2024, yang disambut setiap 23 Mac.
Yang Berhormat Pengiran Dato mengongsikan bahawa menurut WMO, purata suhu global pada tahun 2023 adalah dianggarkan 1.45 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata suhu tahun 1850 hingga 1900 dan ianya merupakan tahun paling panas di dalam rekod. Tahun 2023 juga, telah mencatatkan peningkatan paras laut tertinggi sejak permulaan pengukuran altimeter satelit pada tahun 1993.
Pada masa yang sama, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), melalui Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), telah dan sedang giat melaksanakan penyelidikan sains iklim bagi Negara Brunei Darussalam.
“Hasil kajian berkenaan telah menunjukkan bahawa negara kita telah menunjukkan tren suhu udara yang meningkat dengan kadar 0.23 darjah Celsius setiap 10 tahun, iaitu peningkatan purata sebanyak sekitar 1.15 darjah Celsius sejak 50 tahun kebelakangan ini. Kajian juga menunjukkan bahawa tren jumlah turunan hujan juga meningkat dengan kadar 110mm setiap 10 tahun. Peningkatan tren suhu dan juga jumlah turunan ini menunjukkan negara kita tidak dapat lari daripada kesan perubahan iklim,” jelas beliau.
Dalam hubungan itu, bagi menyumbang penyediaan maklumat sains iklim bagi negara kita, BDMD adalah ahli penting kepada Adaptation and Resilience Working Group (ARWG), di bawah Sekretariat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.
“Saya menyokong penuh usaha berterusan BDMD untuk meningkatkan lagi perlaksanaan penyelidikan sains iklim di Negara Brunei Darussalam, bagi membantu agensi-agensi yang berkepentingan dalam membuat perancangan dan tindakan bagi memastikan negara dapat melaksanakan langkah-langkah mitigasi, adaptasi dan meningkatkan kedayatahanan negara untuk kesejahteraan rakyat, ekonomi dan alam sekitar terhadap kesan perubahan iklim.”
Beliau difahamkan bahawa BDMD telah menghasilkan ramalan unjuran iklim jangka panjang sekitar satu abad kehadapan berasaskan model-model iklim antarabangsa bagi mendokong usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam merancang dan menyusun dasar dan mengurus risiko dan juga peluang yang ditimbulkan oleh perubahan iklim.
“Mengambilkira juga kesan perubahan iklim yang telah merubah corak kejadian cuaca global dan juga corak kejadian cuaca di negara ini, operasi pencerapan dan pemantauan cuaca di negara ini adalah penting dan pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara yang BDMD telah dan sedang laksanakan adalah bertepatan dengan hasrat MTIC untuk memastikan pencerapan dan pemantauan cuaca adalah mengikut perkembangan teknologi masa kini dan akan dapat meningkatkan ketepatan dalam pengeluaran ramalan, nasihat dan amaran cuaca demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk di negara ini.”
Dalam usaha berterusan MTIC, melalui BDMD dalam meningkatkan kapasiti negara terhadap cuaca melampau yang disebabkan oleh kebolehubahan iklim, ramalan tinjauan bermusim bagi turunan hujan 3 hingga 5 bulan ke hadapan berserta nasihat awal iklim telah dikeluarkan melalui siaran akhbar dan media termasuklah sosial media dari semasa ke semasa.
Menurut Yang Berhormat Pengiran Dato, MTIC melalui BDMD akan terus mendokong usaha-usaha WMO dan memastikan perkhidmatan kajicuaca dan kajiklim akan terus dipertingkatkan dengan matlamat untuk menjamin keselamatan serta pembangunan dan kemakmuran negara.


