FRANKFURT, 28 JULAI – Insiden tren tergelincir di kawasan berhutan di barat daya Jerman yang mengorbankan tiga nyawa kelmarin dipercayai berpunca daripada sistem pembetungan yang melimpah, menurut polis Ulm dan pendakwa raya Ravensburg dalam kenyataan bersama, hari ini.
Menurut siasatan awal, hujan lebat di kawasan berdekatan menyebabkan sebuah saluran pembetungan melimpah, sekali gus mencetuskan hakisan tanah di cerun bersebelahan landasan, menyebabkan tren tergelincir.
Kejadian berlaku sekitar jam 6:10 petang berhampiran bandar Riedlingen, di negeri Baden-Wuerttemberg, ketika kawasan tersebut dilanda ribut petir yang kuat, menurut perkhidmatan cuaca.
Ketika kejadian, terdapat kira-kira 100 penumpang berada dalam tren tersebut. Pihak berkuasa mengesahkan tiga orang maut, termasuk pemandu tren dan seorang kakitangan syarikat kereta api.
Sekurang-kurangnya 41 penumpang cedera, termasuk beberapa yang mengalami kecederaan serius.
Perkhidmatan kereta api di laluan terlibat masih ditangguhkan dan kerja-kerja pembersihan dijangka bermula esok, menurut kenyataan itu.
Siasatan masih dijalankan dan tiada unsur sabotaj atau gangguan buatan manusia terhadap landasan ditemui setakat ini, tambah pihak berkuasa. – AFP
