MILAN – Sebuah meja pool yang diubah menjadi meja makan, rak buku diubah menjadi kabinet fail dan panel penyerapan bunyi untuk memudahkan kerja dari rumah: menyesuaikan diri kepada kehidupan harian selepas koronavirus sentiasa terbayang-bayang dalam fikiran kebanyakan pempamer di Pesta Perabot Milan baru-baru ini.
Selepas terkurung di rumah berbulan lamanya, kebanyakan rumah dan pangsapuri orang awam telah pun diubah kepada pejabat, sekolah, gim dan taman permainan, yang menggabungkan ruang awam dan peribadi.
“Rumah telah menjadi tempat perlindungan untuk penghuninya, tempat yang dialu-alukan yang mencerminkan personaliti setiap rumah dan menawarkan keselesaan dan kefleksibelan tertentu,” beritahu Maria Porro, ketua pameran Salone del Mobile kepada AFP.
“Justeru itu, usaha mencari bahan yang rasa selesa untuk disentuh, dan perabot pelbagai fungsi yang membenarkan ruang diubahsuai dan bersifat peribadi.”
Sebuah meja pool dalam warna coklat walnut dan dihiasi dengan pinggan dan lilin menarik perhatian pelawat, yang berhenti untuk merasa permukaan licin dan tidak terlepas peluang untuk mengambil gambar.

“Permintaan telah meningkat semasa pandemik disebabkan orang telah mengubah suai semula rumah mereka dan mahu kawasan permainan diubah dengan mudah kepada meja makan atau meja kecil,” kata Guido Rossi daripada firma MBM Biliardi.
Tidak jauh, Ferrimobili menawarkan produk tempahan khas termasuk rak yang menempatkan meja yang boleh dipanjangkan, diubahsuai untuk memenuhi keperluan orang yang bekerja dari rumah.
“Ia merupakan penyelesaian yang ideal untuk ruang kecil. Dengan pandemik, pelanggan mahu sebuah rumah yang bersifat lebih berfungsi tetapi juga kelihatan anggun,” kata Domenico Tescione dari firma berpangkalan di Rimini yang melihat pendapatannya meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun lalu.
Industri perabot Itali pada amnya mengalami kesukaran pada tahun 2020, apabila negara dikenakan sekatan koronavirus berbulan-bulan lamanya, dengan kadar pusing ganti merosot 8.9 peratus kepada 21.1 bilion euro (AS$25 bilion).
Bagaimanapun, dalam separuh tahun pertama 2021, penjualan telah me-ningkat malah mengatasi sebelum pandemik meletus, pada 14.3 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2019.
Keselesaan telah menjadi faktor yang semakin penting. “Bekerja berjam-jam lamanya di meja lama dan kerusi yang diubahsuai adalah tidak dapat diterima,” kata Andrea Bottoli dari firma perabot pejabat Martex.
Pekerja di rumah yang menghabiskan masa seharian dalam persidangan video juga semakin menumpu pada imej mereka.
“Mereka meletakkan logo syarikat sebagai latar belakang, mereka berusaha mencari ruang paling menarik dalam rumah mereka dan menyesuaikan pencahayaan supaya mereka tidak nampak terlalu letih,” ujar Bottoli.
Sebelum pandemik, ‘pelanggan mencari perabot pejabat yang membuat mereka rasa lebih seperti rumah – dan keadaan telah berubah sebaliknya sekarang. Mereka mahu sebuah pejabat di rumah, tanpa kelihatan seperti satu tempat kerja,” tambah pereka India Mahdavi.
Satu lagi trend semasa sekatan adalah ‘orang mahu rumah mereka menjadi tempat yang ceria, dengan lebih banyak warna dan tumbuh-tumbuhan hijau,” beritahunya kepada AFP.
Trend mencari bahan yang bertahan lama, kukuh dan mampan dipaparkan di pameran ‘hutan bandar,’ 100 pokok mapel, oak, limau kasturi, epal dan plum yang mengalu-alukan pelawat dan akan ditanam semula di sekitar bandar Milan selepas itu.
“Pandemik telah mendedahkan minat mendalam untuk orang mencipta, mengubah suai rumah mereka, disebabkan mereka tinggal di rumah, mereka tidak banyak berkunjung,” kata pereka Perancis Pierre Yovanovitch.
Beliau percaya ‘orang mahukan keselesaan, kemesraan’, bukannya ruang dalaman yang dingin, putih: “Mereka sedang mencari lebih kreativiti, lebih warna dan lebih ceria.’ – AFP