Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trend makan berat lewat malam membimbangkan

    PUTRAJAYA – Dapatan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024: Pemakanan yang dikeluarkan bulan lalu menunjukkan trend pengambilan makanan berat pada lewat malam dalam kalangan rakyat Malaysia membimbangkan.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dapatan utama tinjauan itu mendapati 41.8 peratus remaja dan 33.5 peratus dewasa mengamalkan pengambilan makanan berat lewat malam sekurang-kurangnya sekali seminggu.

    Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya orang ramai mengurangkan pengambilan makanan berat lewat malam atau makan dalam kadar sederhana sahaja kerana aktiviti itu memberi kesan negatif kepada diri.

    “Sebelum tidur, kurangkan makanan berat lewat malam bukan tidak boleh tapi sentiasa bersederhana,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan NHMS 2024: Pemakanan, baru-baru ini.

    Berdasarkan NMHS 2024, aktiviti makan lewat malam boleh memberi kesan negatif kepada gangguan kualiti tidur, masalah pencernaan dan peningkatan risiko penyakit jantung.

    Pengambilan makanan berat lewat malam boleh memberi kesan negatif kepada diri. – Unsplash

    NHMS 2024: Pemakanan adalah kajian berasaskan populasi berskala nasional yang dijalankan secara berkala oleh KKM dengan memfokuskan kepada aspek pemakanan bagi menilai corak pemakanan dan status nutrisi rakyat Malaysia merentas pelbagai kumpulan umur.

    Seramai 5,147 responden telah mengambil bahagian dalam tinjauan yang telah dijalankan dari Julai hingga September 2024.

    Sementara itu, Dzulkefly berkata dapatan utama lain adalah 63.1 peratus remaja dan 47.0 peratus dewasa mengambil gula melebihi saranan pemakanan, dengan hampir separuh daripada jumlah itu berpunca daripada pengambilan minuman bergula.

    Bagi garam pula, 75.9 peratus populasi dewasa mengambil garam melebihi 2,000 miligram sehari, iaitu bersamaan lebih 1½ sudu teh.

    “Semua orang terutamanya masyarakat diseru membudayakan hidup sihat, aktif, corak pemakanan dan kaedah masak yang baik, kerana diet bermula dengan masakan yang bagus,” ujarnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda