Friday, April 18, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trend penipuan dalam talian meningkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha telah menghadiri Meja Bulat Kerajaan ke Kerajaan (G2G) bagi Penipuan dan Kecerdasan Buatan (AI) yang diadakan bersama dengan Asia Tech x Singapore (ATxSG) di Singapura pada 6 Jun hingga 9 Jun lalu.

    Turut serta ke acara itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Mohammad Yusof; Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan AITI.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) di sini, ATxSG telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.

    Sementara itu, meja bulat telah dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Maklumat, Republik Singapura, Puan Yang Terutama Josephine Teo.

    Semasa sesi meja bulat itu, para menteri telah bertukar-tukar pandangan dan maklumat mengenai trend peningkatan bersama iaitu penipuan dalam talian dan pelbagai langkah menangkisnya yang diperkenalkan oleh negara masing-masing.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary mengadakan kunjungan muhibah kepada PYT Josephine Teo pada sesi meja bulat yang berlangsung di Singapura baru-baru ini. – Gambar serahan MTIC
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dan TYT Lawrence Wong pada majlis berkenaan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sekuriti Siber Kebangsaan mengongsi bahawa 90 peratus kes penipuan yang dilaporkan pada 2022 telah dikendalikan secara dalam talian. Apabila dibandingkan dengan data 2012, kurang daripada 40 peratus kes penipuan yang dilaporkan adalah melalui kaedah dalam talian.

    Oleh itu, pengalaman dan pembelajaran daripada pihak lain semasa perbincangan meja bulat itu akan membantu membentuk langkah-langkah tambahan yang perlu untuk diperkenalkan bagi mengurangkan kejadian penipuan dalam talian.

    Setentunya usaha bersepadu oleh agensi-agensi sekuriti, penyedia perkhidmatan telekomunikasi, bank-bank dan agensi-agensi penguatkuasaan amat diperlukan.

    Menyentuh mengenai AI khususnya Generative AI, para menteri mengambil maklum dan menghargai usaha-usaha di peringkat kebangsaan serta peringkat serantau bagi mengawal selia kecerdasan buatan.

    Kecerdasan buatan dikenal pasti mempunyai banyak aplikasi yang berguna dan keseimbangan yang bersesuaian iaitu antara mempromosi inovasi dan melindungi kepentingan awal adalah diperlukan.

    Dalam hubungan itu, terdapat seruan untuk lebih banyak kolaborasi antarabangsa bagi memastikan penempatan dan pembangunan teknologi berkenaan diselaraskan dengan amalan-amalan beretika dan bertanggungjawab.

    Selain ATxSG, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary telah mengadakan kunjungan muhibah kepada PYT Josephine Teo pada 6 Jun lalu di mana kedua-dua menteri telah bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran-cabaran utama dan pembangunan serantau masa kini serta juga bidang-bidang kepentingan bersama untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara.

    Yang Berhormat Pengiran Dato juga telah mengadakan lawatan ke Cyber Security Agency of Singapore (CSA) bagi perbincangan mendalam mengenai perkembangan dan trend sekuriti siber. Program diteruskan dengan perbincangan dengan Smart Nation and Digital Government Office (SNDGO) untuk meneroka penjajaran dan pembelajaran daripada perjalanan pendigitalan Singapura.

    Beliau juga melawat IMDA PIXEL Innovation Lab iaitu sebuah ruang inovasi di Singapura bagi syarikat-syarikat pemula dan korporat untuk belajar mengenai teknologi dan idea terkini, bereksperimen dan membangunkan produk digital berpusatkan pengguna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda