Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Semenjak pembukaan sempadan pada 1 Ogos 2022, trend bagi pergerakan penumpang menunjukkan peningkatan sebanyak 55 peratus sehingga 31 Disember 2022.
Secara purata, kadar pertumbuhan pergerakan penumpang di negara ini adalah sebanyak 5.5 peratus setiap tahun (2015-2019), menurut perangkaan sektor pengangkutan dan infokomunikasi Negara Brunei Darussalam bagi tahun 2012 hingga 2022.
Perangkaan itu telah diterbitkan dengan kerjasama daripada jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang mendapati tahun 2019 merupakan penanda aras bagi kemajuan sektor penerbangan di negara ini di mana pergerakan penumpang masuk, keluar dan persinggahan menunjukkan jumlah tertinggi pada tahun tersebut dengan mencatatkan seramai 2,186,825 penumpang.
Jika berdasarkan kadar berganda sebanyak 5.5 peratus setiap tahun, jumlah pergerakan penumpang dijangka akan kembali ke tahap 2019 pada tahun 2026.
Sektor pengangkutan yang merangkumi udara, darat dan laut di negara ini telah mengalami ketidaktentuan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan disebabkan oleh beberapa faktor dari luar dan dalaman terutama dengan munculnya pandemik COVID-19 yang telah mengakibatkan penurunan hampir semua sektor di bawah pengangkutan.
Pandemik COVID-19 yang melanda sejak tahun 2020 telah mengakibatkan perubahan senario dengan kemelesetan jumlah penumpang sebanyak 81 peratus.
Fenomena itu bukan saja dihadapi di negara ini, malahan ia juga dialami di seluruh negara di kala seluruh dunia sedaya upaya mengekang merebaknya pandemik tersebut dengan penutupan sempadan-sempadan negara.
Tambahan lagi dengan krisis logistik import dan eksport yang juga mengakibatkan kekurangan bekalan keperluan kepada seluruh dunia yang menjurus kepada kenaikan harga barang-barang keperluan.
Sementara itu, dari segi pergerakan penumpang (keluar, masuk dan persinggahan) melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) dari tahun 2012 hingga 2019 pada keseluruhannya telah menunjukkan trend yang konsisten.
Manakala, penerbangan berjadual telah menunjukkan trend pertumbuhan yang positif pada tahun 2012 hingga 2019 dengan purata 13,696 penerbangan setiap tahun dan jumlah tertinggi dicatatkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak 17,323.
Pada tahun 2020, jumlah penerbangan berjadual telah mengalami penurunan yang drastik iaitu sebanyak 70 peratus dan diikuti dengan 61 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan tahun sebelumnya disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, pasca awal endemik telah memberikan impak yang positif bagi industri penerbangan di negara ini dengan jumlah yang melebihi 50 peratus pada tahun 2022.
Manakala perangkaan bagi penerbangan tidak berjadual (penerbangan sewa yang membawa sama ada kargo atau penumpang) bagi tempoh 2012–2021 merekodkan jumlahnya kekal di bawah had 1,000 penerbangan dengan purata sebanyak 706 penerbangan setiap tahun di mana tahun 2022 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,097 penerbangan.