VIENNA – Berbekalkan benang yan, jarum dan jarum kait, penonton wayang yang teruja berpusu-pusu mengerumuni pawagam di Vienna setiap bulan untuk menggabungkan hobi kegemaran mereka, iaitu mengait sambil menonton filem.
Dengan ramai yang telah beralih kepada kraf yang tak lapuk ditelan zaman seperti mengait dan krusye semasa pandemik COVID-19, semakin ramai peminat ingin berhubung dengan komuniti seni kraf ibu negara Austria itu dalam kehidupan sebenar.
Votiv Kino di Vienna telah menjadi pawagam terbaharu di Eropah yang menawarkan malam pawagam seni kraf, trend yang dipelopori oleh negara-negara Nordik.
“Kami melihat bahawa ia wujud di Amerika Syarikat, Denmark, Finland, Jerman,” kata Luisa Palmer yang gemar mengait, dan memulakan malam mengait di Votiv Kino bersama rakan sekerja.
Sejak acara tersebut dilancarkan pada bulan Disember, malam mengait bulanan telah mendapat sambutan menggalakkan, menarik hampir 180 pengunjung setiap kali.

Dengan lampu hanya dimalapkan sedikit semasa The Devil Wears Prada ditayangkan pada Ahad baru-baru ini, penonton pawagam mula sibuk dengan hobi mengait mereka.
“Ia agak ‘estetik’, tetapi saya rasa ia mempunyai suasana amat menenangkan dan menyenangkan. Ia bagaikan membangkitkan nostalgia tentang rumah selesa diinspirasi nenek,” Alexander Koch, 28, berseloroh sambil mengait.
Kaja Vospernik, seorang pelajar fesyen berusia 23 tahun, yang sedang mengait baju sejuk, memberitahu AFP bahawa dia teruja untuk ‘bertemu dan berkenalan dengan orang baharu, yang mempunyai minat yang sama’.
“Saya berasa amat seronok mengait sambil menonton filem atau mendengar podcast, jadi sudah tentu pawagam adalah tempat yang bagus untuk itu, ” kata Vospernik.
Filem itu seolah-olah menjadi kurang menonjol apabila pengait yang bersemangat – sebahagian daripada mereka memakai pakaian rajut buatan tangan mereka – terus berbual dan bekerja.
“Ramai orang mula mengait dan krusye semasa wabak dan sebagai memenuhi keperluan, hanya melakukannya di rumah sahaja. Itulah sebabnya ramai orang kini mahu melakukannya bersama orang lain,” kata Palmer yang berusia 32 tahun.
Dalam dunia yang semakin digital dengan ramai orang duduk di depan komputer di tempat kerja, orang ramai berasa seronok ‘mencipta sesuatu dengan tangan mereka sendiri yang awda boleh pakai kemudian,’ kata Palmer.
‘Filem kegemaran yang telah awda tonton’ paling sesuai untuk dipadankan dengan aktiviti mengait, tambah Palmer.
Dan komuniti kraf ‘yang pelbagai’ di Vienna, yang ‘dibuka kepada semua peringkat umur,’ telah berkembang kepada kira-kira 1,000 orang, beritahu Judith Hasloewer, yang bersama-sama memulakan acara itu di pawagam, kepada AFP.
“Awda boleh saja duduk di teater dan mengait dan bersendirian, tetapi jika awda berasa ingin ditemani, awda pasti akan menemuinya di sini,” katanya.
Menghasilkan pakaian awda sendiri membolehkan awda ‘berhubung dengan realiti, memandangkan ia memperlahankan aktiviti awda’ sementara ia juga melambangkan pengisytiharan berani terhadap ‘fesyen pantas,’ kata Hasloewer, 27 tahun.
Menurut jurucakap Votiv Kino, Lisa Stolze, malam mengait adalah tambahan terbaharu kepada acara istimewa mereka – yang termasuk sarapan pagi pawagam dan tayangan untuk ibu bapa dan anak damit mereka – yang direka untuk ‘memenuhi penonton kami yang mempunyai minat berbeza.’ – AFP