MADRID, 30 MEI – Real Madrid telah menandatangani pertahanan England, Trent Alexander-Arnold dari Liverpool dengan kontrak sehingga tahun 2031, umum kelab gergasi Sepanyol itu, hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu yang kontraknya di Anfield hampir tamat, menyertai kelab gergasi Sepanyol itu lebih awal dengan bayaran perpindahan agar dapat beraksi dalam Piala Dunia Kelab.
Alexander-Arnold, yang beraksi di posisi bek kanan, baru sahaja memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool.
Dia merupakan produk akademi kelab Liverpool dan pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2019.
Beliau turut membantu Liverpool memenangi Liga Perdana pada 2020 dan telah membuat 352 penampilan bersama kelab tersebut.
Pemain pertahanan itu kini menyertai bekas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso di Real Madrid, selepas jurulatih kelahiran Sepanyol itu dilantik sebagai pengganti Carlo Ancelotti.
Namun, hubungan rapat Alexander-Arnold dengan Liverpool menyebabkan pengumuman perpindahannya ditolak oleh segelintir penyokong, malah beliau dikecam ketika perlawanan kedua terakhir musim ini.
Namun, selepas tokoh-tokoh penting kelab seperti bekas pengurus Jurgen Klopp dan bintang Mohamed Salah menyeru penyokong agar mengenang jasa besarnya dalam kejayaan Liverpool sepanjang enam tahun lalu, Alexander-Arnold akhirnya menerima sorakan gemuruh ketika menjulang trofi Liga Perdana di Anfield pada Ahad lalu.
Pertahanan itu menyertai skuad Real Madrid yang gagal meraih sebarang trofi utama musim ini. – AFP
