KUALA LUMPUR, 28 Feb – Trio berbasikal negara membuka tirai Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI di Poland dengan langkah kiri apabila berakhir di kedudukan ke-15 dalam saingan kelayakan acara pecut berpasukan, pagi tadi.
Lebih memeranjatkan gandingan Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis sekadar mencatatkan 45.099s sekali gus gagal memecahkan rekod kebangsaan 43.934s yang dilakukan mereka di Sukan Asia Jakarta 2018.
Mereka yang pada mulanya menyasarkan tempat kelapan bagi acara pecut berpasukan berakhir di kedudukan kedua tercorot pada saingan kelayakan acara itu dan gagal ke pusingan seterusnya.
Menurut laman web rasmi kejohanan https://www.uci.org, acara itu diungguli oleh pasukan Belanda yang merekodkan 41.923s pada final diikuti pasukan Perancis dengan catatan 42.889s. – Bernama