Sunday, February 9, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Triti, dua MoU dimeterai

    KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 3 OGOS – Negara Brunei Darussalam dan Malaysia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dalam beberapa bidang menerusi perjanjian satu triti dan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) pada majlis yang berlangsung di Putrajaya, Kuala Lumpur hari ini.

    Majlis Pertukaran Dokumen bagi triti dan dua MoU itu dimeterai sempena Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ke Malaysia bermula hari ini.

    Mengiringi keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Pada majlis pertukaran dokumen bagi triti dan MoU, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menyaksikan acara penandatanganan yang berlangsung di Seri Perdana itu bersama Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

    Bagi Perjanjian Triti berkaitan Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP), dokumen tersebut telah ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman mewakili kerajaan Brunei, manakala kerajaan Malaysia diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Tuan Yang Terutama, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan bergambar ramai bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Majlis Sambutan Negara di Istana Negara, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah TYT Dato’ Seri Anwar dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah. – Gambar oleh Infofoto
    Keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri di Istana Negara, Kuala Lumpur bagi Majlis Sambutan Negara. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berangkat menghadiri Majlis Santap Negara yang telah dijamukan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara. – Gambar oleh Infofoto
    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan mengadakan kunjungan muhibah bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan disembah kenalkan dan meletak nama pada sejenis bunga orkid baharu sempena Keberangkatan Negara Baginda berdua ke Malaysia. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Yang di-Pertuan Agong menanam sepohon pokok Simpor, (Dillenia suffroticosa) di halaman Dataran Istana Negara. – Gambar oleh Infofoto

    Baginda Sultan berkenan menghadiri Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan ke-24 bersama TYT Dato’ Seri Anwar. – Gambar oleh Infofoto
    Gambar oleh Infofoto
    Gambar oleh Infofoto
    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama TYT Dato’ Seri Anwar bagi menghadiri Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan ke-24 yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. – Gambar oleh Infofoto
    ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama TYT Dato’ Seri Anwar menyaksikan majlis pertukaran dokumen bagi satu triti dan dua MoU antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan Malaysia. – Gambar oleh Infofoto
    Gambar oleh Infofoto
    Gambar oleh Infofoto

    Triti tersebut bertujuan untuk menyelaraskan pemindahan banduan antara kedua-dua buah negara.

    Sementara itu, MoU dalam bidang belia dan sukan, menandatangani bagi pihak kerajaan Brunei Darussalam ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, manakala kerajaan Malaysia diwakili oleh Menteri Belia dan Sukan, Puan Yang Terutama Yeoh Tseow Suan.

    MoU yang diperbaharui itu antara lain bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pembangunan belia, sukan dan perkembangan sosial rakyat kedua-dua negara, serta bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama, melaksanakan pertukaran maklumat dan program-program mengenai belia dan sukan.

    MoU kedua berkaitan kerjasama dalam bidang kehakiman syariah telah ditandatangani oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar bagi pihak kerajaan Brunei, manakala, kerajaan Malaysia diwakili oleh Ketua Hakim Syariah dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Tuan Yang Terutama Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain.

    Antara objektif MoU tersebut adalah bagi mengukuhkan dan membangunkan lagi kerjasama dalam bidang kehakiman syariah melalui program pertukaran pegawai, penyelidikan bersama, pertukaran penerbitan, laporan serta bahan akademik, perkongsian aktiviti dan program-program yang bermanfaat kepada kedua-dua negara.

    Sempena Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan kali ke-24, satu Kenyataan Ber-sama telah dikeluarkan.

    Selepas menyaksikan majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Petang yang dihoskan oleh TYT Perdana Menteri Malaysia.

    Majlis Sambutan Rasmi

    Terdahulu sebelum majlis penandatanganan MoU itu, Majlis Sambutan Negara telah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur di mana keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri telah dialu-alukan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Perdana Menteri Malaysia dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail.

    Majlis dimulakan dengan Baginda Sultan menaiki Pentas Khas untuk menerima tabik hormat dan diiringi dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia serta 21 das tembakan meriam.

    Majlis diteruskan dengan pemeriksaan barisan kehormatan yang terdiri daripada Rejimen Askar Melayu Diraja.

    Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Agong seterusnya dijunjung beredar ke halaman Dataran Istana Negara bagi acara menanam sepohon pokok Simpor (Dillenia suffroticosa).

    Acara penanaman pokok tersebut adalah sebagai tanda kenang-kenangan Keberangkatan Negara Baginda Sultan ke Malaysia, yang mencerminkan tali kekeluargaan mendalam yang sekian lama dipupuk oleh kedua-dua negara.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudiannya disembah kenalkan kepada para pembesar Malaysia dan para perwakilan asing di Malaysia serta diikuti dengan sembah pengenalan ahli-ahli rombongan delegasi Brunei kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

    Kunjungan muhibah bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong
    Selepas Majlis Sambutan Negara, Baginda berdua berkenan berangkat bagi kunjungan muhibah bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di mana kedua-dua pemimpin antara lainnya telah membincangkan mengenai jalinan silaturahim yang erat dan mesra serta hubungan kerjasama dua hala yang sangat baik di antara kedua-dua negara.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri juga berkenan disembah kenalkan dan meletak nama pada sejenis bunga orkid baharu sempena Keberangkatan Negara Baginda berdua ke Malaysia.

    Bunga orkid tersebut telah didaftarkan dengan nama ‘Papilionanda Queen Saleha’.

    Majlis Santap Negara

    Selepas kunjungan muhibah, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berangkat menghadiri Majlis Santap Negara yang telah dijamukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara.

    Semasa Majlis Santap Negara tersebut, persembahan kebudayaan diadakan bagi meraikan Keberangkatan Negara Baginda berdua ke Malaysia.

    Sebelum berangkat meninggalkan Istana Negara, Baginda berdua disembahkan dengan ucapan selamat berangkat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

    Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan kali ke-24

    Baginda Sultan berangkat bersama TYT Dato’ Seri Anwar bagi menghadiri Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan kali ke-24 yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Kompleks Seri Perdana, dialu-alukan oleh TYT Dato’ Seri Anwar.

    Baginda Sultan dan TYT Perdana Menteri Malaysia telah berbincang mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

    Majlis Santap Malam

    Pada sebelah malamnya, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh TYT Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah di Menara Berkembar Petronas.

    Mengiringi keberangkatan Baginda berdua ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

    Semasa Majlis Santap Malam tersebut, Baginda berdua berkesempatan menikmati pemandangan Kuala Lumpur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda