Friday, September 20, 2024
34.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Troli pelbagai guna mudah direka

    Oleh Amri HTZ –

    Mengalih atau membawa barangan dari suatu tempat ke tempat lainnya akan lebih mudah menggunakan sebuah cart atau troli.

    Ini terutamanya bagi seorang tukang kayu yang membawa barangan dari suatu tempat ke suatu tempat selain menempatkan lebihan potongan kayu agar ruangan kerja nampak lebih teratur. Untuk mereka troli yang diperbuat daripada besi, ikuti projek DIY kali ini dengan beberapa langkah mudah.

    Persediaan awal diperlukan

    Pagar besi
    Kepingan besi
    Mesin kimpal
    Pemegang (handle)
    Pengikat kabel
    Roda
    Bolt dan nat
    Cat besi

    TANDA DAN POTONG BESI

    Besi hollow berukuran 3.5 x 3.5cm akan digunakan untuk rangka cart rekaan.

    Potongkan besi dengan panjang 71cm untuk empat batang bagi bahagian sisi kiri dan kanan (atas dan bawah), 88cm empat batang untuk depan dan belakang (atas dan bawah), 85cm empat batang bagi tiang dan 64cm sebatang untuk bahagian sokongan rangka bawah. (gambar 2)

    Setelah memotongkan kesemua bahagian diperlukan, mulakan langkah mencantumkan dengan mengimpal bahagian bawah dan atas rekaan.

    Gambar 1. – Gambar oleh Vekrismichael
    Gambar 2. – Gambar oleh Vekrismichael
    Gambar 3. – Gambar oleh Vekrismichael
    Gambar 4. – Gambar oleh Vekrismichael
    Gambar 5. – Gambar oleh Vekrismichael
    Gambar 6. – Gambar oleh Vekrismichael
    Gambar 7. – Gambar oleh Vekrismichael
    Gambar 8. – Gambar oleh Vekrismichael
    Gambar 9. – Gambar oleh Vekrismichael
    Gambar 10. – Gambar oleh Vekrismichael

    Dua batang besi 71cm dan 88cm akan dicantumkan dengan bahagian bawah akan dikimpal besi 64cm pada bahagian tengahnya sebagai sokongan. Tetapkan kekuatan voltan sesuai dengan ketebalan besi dan pastikan berlakunya penetration (kedalaman pelakuran) untuk memastikannya kukuh. (gambar 3)

    Langkah mengimpal kemudiannya akan diikuti dengan mencantumkan bahagian tiang. Letakkan bahagian bawah rekaan pada permukaan yang rata untuk melakukannya dan kimpal keempat-empat tiang dalam kedudukan 90 darjah. (gambar 4)

    Untuk memastikan tiang dalam keadaan tegak, gunakan bantuan alat timbang air ketika menetapkan kedudukannya.

    Selain itu, menggunakan alat angle magnet (magnetic clamp) amat bermanfaat pada langkah ini terutamanya jika ia dilakukan seorang diri sebagai pembantu untuk mengekalkan kedudukan bahagian kimpalan secara sementara. (gambar 5)

    Setelah mengimpal kesemua bahagian membentuk rangka cart, kini rekaan boleh diterbalikkan untuk mendedahkan bahagian bawah cantuman untuk proses kimpalan.

    Langkah mengimpal keseluruhan permukaan cantuman penting terutama bagi mereka yang akan meletakkan cart pada kawasan yang terdedah dengan kelembapan. Air yang memasuki ruangan dalam paip lama-kelamaan akan menyebabkan karat sekali gus melemahkan bahagian cantuman. (gambar 6)

    PENDAKAP UNTUK RODA

    Langkah seterusnya ialah mencantumkan pendakap untuk roda cart. Kepingan plat besi dengan ukuran sesuai roda digunakan akan dipotong menggunakan mesin angle grinder.

    Ia kemudiannya dikimpal pada kesemua sudut bahagian bawah rekaan.

    Pilih roda yang mempunyai kemampuan untuk menampung beban yang berat agar ia mampu bertahan lama dan kekalkan menggunakan nat dan bolt. (gambar 7)

    Sekeping plat berukuran 1mm akan diletakkan pada bahagian bawah troli. Ini memerlukan awda memotong plat berukuran 88 x 71cm dengan keempat sudut hujung dipotongkan sedikit untuk ruang tiang.

    Dalam menetapkan plat tersebut, ia boleh dikimpal atau hanya menggunakan rivet. (gambar 8)

    Bagi memudahkan rekaan untuk disorong dan ditarik, perlunya ia dilengkapi dengan pemegang.

    Pilih pemegang yang ukurannya bersesuaian di mana ia tidak terlalu kecil atau diperbuat bukan daripada bahan tahan lasak.

    Tetapkan menggunakan nat dan bolt dengan menebuk lubang pada besi bahagian atas troli. (gambar 9)

    TETAPKAN PAGAR DAWAI

    Dalam memastikan barangan yang dimasukkan kekal pada tempatnya, keseluruhan bahagian sisi rekaan akan ditutupi dengan pagar dawai.

    Langkah mengekalkannya hanya akan menggunakan dawai memandangkan ia terlalu nipis menyebabkannya terlalu sukar untuk dikimpal kepada rangka rekaan.

    Ini diikuti dengan mengecat permukaan rekaan menggunakan cat khusus besi untuk melindunginya daripada karat. (gambar 10)

    Tip

    Bersihkan permukaan kimpalan menggunakan alat ginder dengan flap disk untuk meratakan permukaannya sebelum mengecat rekaan.

    Menggunakan spray gun untuk mengecat permukaan rekaan akan mendapatkan hasil akhir yang lebih baik berbanding menggunakan berus.

    Gunakan pagar dawai yang tebal jika ingin mengimpalnya pada besi rangka rekaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda