Wednesday, December 25, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Troopers’ bantu lancarkan pergerakan di stesen LRT

    KUALA LUMPUR – Kelibat petugas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berada di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) bagi membantu memudahkan pergerakan penumpang susulan penutupan LRT Laluan Ampang antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya baru-baru ini telah mendapat pujian ramai.

    Tinjauan Bernama di stesen Hang Tuah mendapati meskipun berlaku penambahan luar biasa jumlah penumpang pada waktu puncak, kehadiran petugas Prasarana atau digelar ‘Troopers’ itu telah berjaya mengawal keadaan dan melancarkan pergerakan penumpang di stesen LRT yang terlibat.

    Mereka yang ditugaskan mengikut syif itu sentiasa bersedia membantu penumpang LRT dengan ada dalam kalangan mereka memegang sepanduk dan menggunakan pembesar suara bagi menyampaikan informasi laluan dengan lebih jelas dan dapat didengari.

    Pengguna tegar LRT terutamanya mereka yang menjadikan perkhidmatan tersebut sebagai pengangkutan ulang-alik ke tempat kerja pula kelihatan sudah memahami perubahan laluan sementara yang telah ditetapkan oleh pihak Prasarana.

    Seorang petugas Prasarana, Farah Nassuha Mohammad Rafi berkata beliau gembira ditugaskan dalam situasi tersebut kerana berpeluang berkomunikasi secara terus dengan penumpang LRT bagi membantu menyampaikan informasi perjalanan.

    Seorang Troopers berada di stesen LRT Hang Tuah membantu penumpang bagi melancarkan pergerakan ke stesen Bandaraya.- Bernama
    Troopers bersedia membantu penumpang LRT dengan ada dalam kalangan mereka memegang sepanduk dan menggunakan pembesar suara bagi menyampaikan informasi laluan dengan lebih jelas dan dapat didengari.- Bernama
    Perkhidmatan LRT Laluan Ampang di Stesen Hang Tuah yang sesak dengan orang ramai.- Bernama

    “Walaupun terpaksa berdiri lama dan memberi arahan dalam keadaan penumpang LRT yang sesak, tapi saya berpuas hati apabila dihargai dengan ada yang thumbs up dan mengucapkan terima kasih terhadap apa yang kami lakukan,” katanya.

    Farah Nassuha yang telah ditugaskan sejak hari pertama kejadian berkata beliau dapat melihat penumpang LRT kini sudah peka dengan perubahan laluan yang berlaku berbanding pada peringkat awal mereka masih keliru dan kehairanan.

    Pada 27 Januari lalu, perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya selain kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan dipercayai disebabkan kerja-kerja pembinaan di kawasan bersebelahan.

    Susulan itu, Prasarana terpaksa menutup laluan antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya dan penumpang LRT terpaksa menggunakan laluan alternatif yang disediakan termasuk bas bagi meneruskan ke destinasi masing-masing.

    Prasarana turut menempatkan seramai 348 kakitangannya merangkumi anggota polis bantuan dan kakitangan sokongan berada di stesen-stesen utama bagi mengawal pergerakan dan perjalanan penumpang LRT.

    Seorang penumpang LRT, Azian Abdullah berkata berikutan penutupan sementara LRT Laluan Ampang antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya, beliau terpaksa turun di Stesen Hang Tuah dan menggunakan monorel ke Stesen Titiwangsa untuk ke tempat kerja.

    “Saya tinggal di Ampang dan lazimnya akan menggunakan LRT Laluan Ampang bermula dari Stesen Cempaka terus ke Stesen Titiwangsa, tapi sekarang terpaksa menggunakan laluan alternatif yang telah disediakan.

    “Pada awal agak kelam-kabut dan ragu-ragu kerana tidak tahu situasi pergerakan, tapi lama-kelamaan keadaan semakin okay ditambah pula dengan penjelasan yang diberikan petugas Prasarana yang sangat membantu,” katanya.

    Tinjauan di laman sosial Facebook Rapid KL, orang ramai turut menghamburkan pujian dan memberi kata-kata semangat atas dedikasi petugas yang membantu penumpang LRT dalam situasi mencabar itu.

    Noor Ellina Jaafar berkata, “Tengok muka petugas yang letih rasa kesian…cuma mampu tunduk sikit tanda hormat dan cakap ‘terima kasih’, Amazing team!.”

    Kak Lel pula menulis, “Saya tabik petugas Rapid KL. Sangat jelas apa mereka arahkan. Penumpang tak pening nak ke destinasi masing-masing”.

    Turut meluahkan perkara sama Liana Yanaz yang berkata, “Saya naik, sejak dari hari pertama kereta api ini bermasalah sampai la sekarang, Alhamdulillah nampak semua staf sangat membantu..kesian dekat mereka yang menjerit-jerit sampai ada yang tiada suara.. apa-apa pun, terima kasih Rapid KL team.”- Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda