KAHERAH, 11 JULAI – Jaringan kemenangan William Troost-Ekong di saat-saat akhir telah menjulang Nigeria ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika awal pagi tadi selepas satu kemenangan sukar 2-1 ke atas Afrika Selatan di sini.
Samuel Chukwueze meletakkan Nigeria di depan pada separuh masa pertama di depan penyokong, yang didominasi oleh penyokong Nigeria di Stadium Antarabangsa Kaherah.
Tetapi satu tandukan Bongani Zungu telah meletakkan Afrika Selatan 1-1 pada minit ke-70, di mana gol itu dianugerahkan dengan bantuan VAR, diperkenalkan buat pertama kali di kejohanan itu bermula peringkat suku akhir, selepas pada mulanya ia dibatalkan kerana ofsaid.
Pemain pertahanan tengah, Troost-Ekong kemudian menyambut satu sepakan sudut ketika perlawanan berbaki seminit bagi meletakkan juara tiga kali, Nigeria menentang sama ada Algeria atau Ivory Coast bagi merebut pentas final pada 19 Julai.
“Kami bernasib untuk menjaringkan gol kedua kerana pada separuh masa kedua Afrika Selatan bermain dengan lebih baik,” kata jurulatih Nigeria, Gernot Rohr.

“Kami gembira, kami perlu pulih dengan sebaiknya kerana perlawanan seterusnya sama ada menentang Algeria atau Ivory Coast akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar.”
Bos Afrika Selatan, Stuart Baxter mengakui kekalahan itu sukar untuk diterima.
“Ia sukar apabila anda tewas sesuatu perlawanan itu di saat-saat akhir, sukar untuk mendapatkan perkara positif daripadanya. Saya pasti selepas tempoh seminggu kami akan mendapat sesuatu yang positif, namun ketika ini sukar buat kami,” katanya.
Bek kiri, Jamilu Collins membuat penampilan pertamanya di Mesir selepas pulih daripada kecederaan sebelum kejohanan, sementara penyerang Villarreal, Chukwueze menggantikan Moses Simon di bahagian serangan.
Baxter mengekalkan kesebelasannya yang mengejutkan pasukan tuan rumah Mesir dalam pusingan sebelumnya, di mana penjaring gol kemenangan Thembinkosi Lorch mengekalkan tempatnya meskipun Thenba Zwane kembali dari penggantungan. – AFP