Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tropical Charters rancang lebih banyak bot pelancongan berkuasa solar

    LANGKAWI, 28 Jun – Seorang usahawan tempatan mengambil serius aspirasi kerajaan menjadikan Langkawi sebagai pulau rendah karbon menjelang 2030 apabila memperkenalkan bot berkuasa solar dalam operasi perniagaannya di pulau peranginan itu.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Tropical Charters Sdn. Bhd., Datuk Alexander Issac, berkata semuanya bermula pada Oktober tahun lepas apabila kumpulan mekaniknya berjaya memasang motor berkuasa solar pada bot pelancongan ‘Kasi Chan Lah’.

    “Kasi Chan Lah adalah bot pertama daripada empat bot peranginan kami dipasang dengan motor berkuasa solar. Ini bermakna pelayaran lebih tenang kerana bunyi motornya amat senyap,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata oleh kerana inisiatif itu masih pada peringkat perintis, justeru, bot tersebut perlu disokong dengan enjin diesel mesra alam.

    “KIta perlu bergerak ke arah hibrid dengan gandingan motor berkuasa solar dan engin diesel mesra alam pada peringkat ini tetapi tidak lama lagi, kumpulan mekanik marin kami boleh mencari jalan untuk memperbaiki kaedah operasi motor elektrik berkenaan,” katanya.

    Alexander berkata beliau merancang untuk menjadikan semua bot di bawah syarikat itu berkuasa solar dalam tempoh tiga tahun.

    Katanya, pelancaran bot mesra alam itu adakah signifikan memandangkan ia menggunakan kepakaran teknikal tempatan.

    “Walaupun motor dan enginnya diperoleh dari luar negara, mekanik kami adalah anak tempatan yang menunjukkan kreativiti mereka untuk menambah baik kedua-dua peralatan berkenaan,” katanya.

    Berikutan kejayaan teknikal itu, beliau merancang untuk membuka bengkel syarikat itu untuk pemilik bot lain yang ingin menggunakan kaedah tenaga solar dalam bot mereka atau membuka peluang kepada belia tempatan mendalami teknologi berkenaan.

    “Ini hanya satu cara kecil yang boleh dilakukan oleh sektor swasta bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai ‘Pulau Rendah Karbon 2030’,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda