Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trufel gurun Libya berkualiti tinggi, sangat didambakan

    AL-HAMADA AL-HAMRA, Libya – Merentasi keadaan sejuk dan penuh cabaran di gurun Libya, Milad Mohammed terlihat mencakar dan mengorek tanah untuk mengeluarkan apa yang dikatakannya sebagai ‘manna dari langit’ iaitu trufel putih yang sangat didambakan oleh masyarakat tempatan mahupun luar negara sebagai salah satu bahan hidangan yang berkualiti tinggi.

    Kulat yang dikenali oleh warga tempatan sebagai ‘Terfas’ adalah satu-satunya, selain rumput liar, yang tumbuh di bawah pasir gurun beserta kesan gabungan hujan dan suhu sejuk pada waktu malam.

    Ia telah dimakan sejak zaman Rom oleh kerana rasanya yang begitu menawan serta mempunyai pelbagai khasiat dan juga digunakan sebagai bahan perubatan. Ia dijual ke negara-negara Teluk sebagai satu makanan mewah.

    Mohammed menuai trufel putih tersebut sebagai satu hobi dan setiap tahun sebelum musim bunga, dia akan pergi ke kawasan gurun Al-Hamada al-Hamra, barat daya Tripoli, untuk mencarinya.

    “Saya tidak dapat bergantung sepenuhnya melalui penghasilan ini. Ia adalah minat saya,” kata Muhammad, yang berusia dalam lingkungan 60an, seorang kakitangan awam yang bersara dari bandar barat Zintan.

    Milad Mohamad, mencari trufel putih, yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘Terfas,’ di kawasan gurun Al-Hamada al-Hamra, di wilayah Nalut barat Libya. – AFP
    Kulat yang dikenali warga tempatan sebagai ‘Terfas’ adalah satu-satunya, selain rumput liar, yang tumbuh di bawah pasir gurun beserta kesan gabungan hujan dan suhu sejuk pada waktu malam. – AFP
    Milad Mohamad, mencari ‘Terfas’ di kawasan gurun Al-Hamada al-Hamra, di wilayah Nalut barat Libya. – AFP
    Milad Mohamad, memegang trufel putih yang ditemui di kawasan gurun Al-Hamada al-Hamra, di wilayah Nalut barat Libya. – AFP
    Trufel juga mempunyai banyak permintaan di pasaran Teluk. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga per kilo trufel putih meningkat kepada 130 dinar (AS$33), kata salah seorang peniaga, sambil menuai kulat tersebut yang mana kini sukar untuk didapati oleh kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. – AFP

    “Ia seperti terapi, cara untuk menenangkan jiwa saya daripada kesibukan hidup bandar raya,” tambahnya sambil bersantai-santai di luar khemahnya yang telah dipacakkan di kawasan gurun tersebut selepas seharian bekerja.

    “Ia adalah tempat yang indah dan kasar. Anda berasa begitu terasing di sini,” kata Mohammed.

    Selama berjam-jam dia mengembara di kawasan gurun tersebut sama ada berjalan kaki mahupun menggunakan trak pikapnya, yang meliputi berpuluh-puluh kilometer dan berhenti di beberapa tempat untuk mencakar atau mengorek pasirnya menggunakan tangan atau tongkatnya untuk mencari trufel putih.

    Biasanya ia berada jauh di dalam tanah.

    “Tidak ada yang lebih memuaskan daripada menggunakan tangan untuk menggalinya dan mengeluarkan trufel lazat tersebut,” kata Mohammed.

    ‘Emas putih’ ini boleh ditemui di negara Afrika Utara yang kaya dengan minyak itu, sebuah negara yang menghadapi kekacauan selepas kejatuhan diktator veteran Moamer Kadhafi dalam pemberontakan yang disokong NATO pada tahun 2011,

    Libya telah dicengkam oleh pergolakan sejak pemberontakan tersebut, dengan pelbagai kumpulan cuba untuk mengawal dan mengendalikan kekayaan minyak dan bandar-bandarnya, sementara gurun itu telah menjadi sarang tebuan bagi kumpulan berani mati dan geng-geng penjenayah.

    Tidak seperti pemburu trufel hitam, yang menggunakan anjing atau babi untuk mencari cendawan berharga itu, Mohammed hanya mempercayai matanya untuk mengetahui tempat di mana ianya tumbuh.

    Menurutnya, trufel putih yang secara saintifiknya memang terkenal dengan kekayaan sumber proteinnya, mempunyai pelbagai manfaat dan jusnya pula digunakan untuk merawat penyakit mata.

    Tetapi trufel juga mempunyai banyak permintaan di pasaran Teluk. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga per kilo trufel putih meningkat kepada 130 dinar (AS$33), kata salah seorang peniaga, sambil menuai kulat tersebut yang mana kini sukar untuk didapati oleh kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.

    Pada tahun ini, hasil tuaian adalah begitu baik oleh kerana turunan hujan yang banyak, namun itu tidak bermakna bahawa kos per kilo menurun kepada 80 dinar.

    Transaksi borong sering dijalankan di sebuah khemah yang didirikan di jalan raya berhampiran Zintan, yang menuju ke Al-Hamada al-Hamra.

    Di sana para pemetik seperti Mohammed dan Khaled Abdelwahed akan pergi untuk menjual trufel yang mereka jumpai di gurun tersebut.

    “Kami mengharungi cuaca yang sangat sejuk, namun para peniaga menawarkan kami harga yang sangat berpatutan,” kata Abdelwahed, ketika dia berusaha untuk menawarkan tawaran baik bagi lapan kilo trufel yang dikumpulkannya selepas empat malam berada di gurun itu.

    “Para pedagang mendapat keuntungan yang lebih baik daripada kami, dan sepanjang masa dia menghangatkan diri di dalam khemahnya” sementara pemetik trufel melakukan kesemua kerja keras itu, katanya.

    Pembeli, Khalifa al-Sahraoui, seorang pedagang dari negara jiran Algeria yang pergi ke Libya setiap tahun untuk musim trufel antara bulan November dan Mac, tidak bersetuju.

    “Kami membeli trufel dan menjualnya kepada peniaga lain,” katanya.

    Abdallah Miloud, seorang lagi pedagang trufel, mengatakan bahawa hasil tuaian tersebut dijual kepada orang tengah yang menjualnya kepada pelanggan di luar negara.

    Trufel putih Libya adalah berkualiti tinggi dan begitu berharga di negara Teluk, tambahnya.

    Tidak terdapat angka rasmi bagi eksport trufel Libya.

    Tetapi menurut Miloud, pendapatan daripada penjualan itu telah menyelamatkan beberapa keluarga dari menghadapi masalah kewangan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda