Monday, December 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trufel hitam gergasi ditemui di China

    KUNMING, 15 DIS – Sebiji trufel hitam gergasi seberat 1.71 kilogram telah ditemui di wilayah Yunnan, barat daya China, sekali gus mencatat rekod baharu sebagai trufel hitam paling berat yang pernah dijumpai di wilayah yang kaya dengan pelbagai jenis cendawan liar itu.

    Trufel itu jauh melebihi berat biasa bagi trufel hitam, yang biasanya mempunyai berat antara 10 hingga 200 gram, dan memecahkan rekod sebelumnya iaitu 1.25 kilogram.

    Trufel yang jarang ditemui itu memiliki warna coklat gelap hingga hitam, berbentuk sfera tidak sekata, serta berukuran 16 cm panjang, 16.6 cm lebar dan 14 cm tinggi.

    “Trufel hitam ini ditemui pada kedalaman kira-kira 10 cm di bawah tanah tanpa sebarang tanda jelas di permukaan,” kata seorang penduduk bandar Anning Wu Min, yang menemui trufel tersebut.

    Seorang pakar menjangkakan trufel berkenaan boleh dijual pada harga kira-kira AS$2,782.60.

    Trufel hitam, yang sering digelar sebagai ‘berlian hitam’ dalam dunia kulinari, merupakan salah satu kulat paling mahal disebabkan keunikan dan aromanya yang tersendiri.

    Ia memerlukan keadaan yang sangat spesifik untuk tumbuh, termasuk iklim tertentu, jenis tanah khas dan kehadiran spesies pokok tertentu.

    Dengan keunikan persekitaran semula jadinya, Yunnan merupakan pengeluar utama trufel hitam di China.

    Trufel itu sangat dihargai di pasaran masakan mewah di seluruh dunia kerana kualiti dan rasanya yang istimewa. – Xinhua

    Gambar Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda