Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump, Abe sependapat

    WASHINGTON, 29 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe semalam bersependapat bahawa adalah ‘sangat penting’ untuk sepenuhnya menghentikan program peluru berpandu balistik dan senjata nuklear Korea Utara, menurut Rumah Putih.

    Para pemimpin AS dan Jepun akan mengadakan pertemuan sebelum sidang kemuncak yang dijangkakan dengan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang dijadualkan pada 12 Jun ini di Singapura beberapa hari selepas Trump mengumumkan dia membatalkannya.

    Presiden AS berkata sidang kemuncak itu boleh diteruskan seperti yang dirancang selepas kenyataan yang lebih meredakan dari Pyongyang dan rundingan produktif dengan para pegawai Korea Utara.

    Jepun yang sejauh ini paling keras berbanding jiran-jirannya, China dan Korea Selatan merasa tidak selesa dengan langkah-langkah peristiwa untuk sidang kemuncak itu dan baginya kelembutan tidak wajar terhadap Pyongyang yang tidak boleh dipercayai.

    Abe dan Trump bercakap melalui telefon sehari selepas para pegawai AS dan Korea Utara mengadakan pertemuan di sebuah perkampungan sempadan gencatan senjata untuk membuat persiapan bagi sidang kemuncak itu.

    Gambar fail bertarikh 17 April 2018 menunjukkan Presiden Donald Trump berjabat tangan dengan Perdana Menteri Shinzo Abe semasa pertemuan mereka di Palm Beach, Florida. Menurut Rumah Putih, kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk sepenuhnya menghentikan program peluru berpandu balistik dan senjata nuklear Korea Utara. – AFP

    Dalam panggilan telefon itu, kedua-dua pemimpin ‘membincangkan perkembangan terbaharu di Korea Utara dan mengesahkan mereka akan mengadakan pertemuan lagi untuk meneruskan penyelarasan dekat sebelum mesyuarat yang dijangkakan antara AS dan Korea Utara,” menurut kenyataan Rumah Putih.

    “Presiden dan Perdana Menteri menegaskan kepentingan yang dikongsi sama dalam mencapai penghentian sepenuhnya dan lengkap program peluru berpandu balistik dan senjata nuklear, kimia dan biologi Korea Utara.”

    Washington mahu Korea Utara segera melepaskan kesemua senjata nuklear dalam cara yang dapat ditentusahkan supaya bebas daripada sebarang sekatan perdagangan dan ekonomi.

    Pyongyang mempunyai pandangan berbeza tentang penamatan nuklear dan masih bimbang bahawa mengenepikan pengawalannya akan mengakibatkan negara dan pemimpinnya mudah terdedah kepada bahaya, terutama sekali ketika AS mengekalkan kehadiran ketenteraan yang kukuh di Korea Selatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda