ISTANBUL, 16 MEI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini berkata beliau akan bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin, ‘secepat mungkin’ untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine, lapor agensi Anadolu (AA).
Trump memberitahu pemberita di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Putin memutuskan untuk tidak menghadiri rundingan damai minggu ini di Istanbul kerana rakan sejawatnya dari AS tidak berada di bandar raya Turkiye itu.
Selepas lawatannya ke Teluk, Trump berkata beliau akan pulang ke AS untuk bertemu cucu lelakinya yang baru lahir kelmarin.
Namun, Trump menegaskan konflik Ukraine perlu ditamatkan dan beliau akan bertemu Putin ‘secepat mungkin’ bagi tujuan itu. – Bernama
