WASHINGTON, 4 JUN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menghadiri sidang kemuncak NATO di The Hague akhir bulan ini, dengan tuntutannya supaya perbelanjaan pertahanan ditingkatkan dijangka mendominasi agenda, menurut kenyataan Rumah Putih kelmarin.
Trump telah lama mengkritik rakan-rakan NATO kerana tidak membayar bahagian mereka yang sepatutnya dan sebelum ini belum mengesahkan kehadirannya ke mesyuarat itu, yang merupakan pertemuan pertamanya dengan pakatan transatlantik itu sejak kembali memegang kuasa.
“Saya boleh sahkan dia akan menghadiri sidang kemuncak NATO,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt semasa taklimat apabila ditanya AFP sama ada Trump akan hadir.
Perang Ukraine dengan Rusia juga akan menjadi antara agenda utama, dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengesahkan kelmarin bahawa negaranya telah dijemput.
Zelensky dan Trump pernah bertelagah hebat dalam mesyuarat di Pejabat Oval pada Februari lalu.

Trump dari Parti Republikan pernah mengancam untuk menarik diri sepenuhnya daripada NATO semasa penggal pertamanya dan sejak itu mengugut untuk hanya mempertahankan sekutu yang menurutnya membelanjakan jumlah yang mencukupi untuk pertahanan.
Pentadbirannya turut mencadangkan kemungkinan memindahkan pasukan tentera dari Eropah untuk memberi tumpuan kepada ancaman lain seperti China sambil menimbulkan ketegangan dengan sekutu seperti Kanada dan Denmark menerusi ancaman terhadap wilayah mereka.
Tuntutan utamanya ialah agar semua negara anggota NATO membelanjakan lima peratus daripada KDNK untuk pertahanan, dengan mendakwa bahawa Washington menanggung sebahagian besar beban mempertahankan mereka.
Namun tiada satu pun daripada 32 negara anggota NATO termasuk AS yang mencapai tahap itu pada masa ini.
Bagi memenuhi kehendaknya, Ketua NATO yang juga bekas Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, telah mencadangkan sasaran sebanyak 3.5 peratus daripada KDNK untuk perbelanjaan pertahanan langsung menjelang 2032,dan 1.5 peratus untuk perbelanjaan keselamatan yang lebih luas.
Cadangan kompromi itu membolehkan Trump mendakwa kemenangan dengan mencapai angka tajuk utama meskipun tidak semua adalah perbelanjaan baharu.
Cadangan Rutte itu mendapat sokongan daripada kuasa besar seperti Jerman dan Perancis pada Mei lalu, sekali gus meningkatkan peluang ia diluluskan. – AFP