Friday, May 9, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump akan umum perjanjian perdagangan dengan UK

    WASHINGTON, 8 MEI – Donald Trump akan mengumumkan perjanjian perdagangan dengan United Kingdom (UK) hari ini, lapor media Amerika Syarikat (AS), selepas presiden itu menguar-uarkan tentang ‘perjanjian besar’ yang bakal diumumkan di media sosial.

    The New York Times dan Politico melaporkan bahawa Trump dijangka akan mencapai persetujuan mengenai perjanjian dengan Britain, memetik beberapa individu yang rapat dengan rancangan tersebut.

    Trump menulis kelmarin bahawa ‘perjanjian perdagangan besar’ itu akan diumumkan bersama sebuah ‘negara besar dan berpengaruh’.

    Beliau akan mengumumkan perjanjian tersebut dalam satu sidang media pada jam 10 pagi di Pejabat Oval di Rumah Putih dan menganggapnya sebagai ‘perjanjian pertama seumpamanya’.

    Trump mengenakan tarif besar terhadap rakan dagang AS bulan lalu tetapi membekukan sebahagian besar tarif tersebut buat sementara waktu untuk membolehkan run-dingan perjanjian perdagangan dijalankan.

    Beliau telah mendakwa selama beberapa minggu bahawa negara-negara sedang berbaris untuk mencapai perjanjian perdagangan dengan AS.

    The Times menyatakan masih belum jelas sama ada perjanjian perdagangan AS dengan Britain telah dimuktamadkan atau jikasama ada kedua-dua negara akan mengumumkan rangka kerja untuk perjanjian yang akan tertakluk kepada rundingan lanjut.

    Bank of England dijangka akan mengurangkan kadar faedah utama mereka sebanyak satu perempat mata hari ini, kerana tarif yang dirancang oleh Trump dikhuatiri akan melemahkan pertumbuhan ekonomi global. – AFP

    Donald Trump menguar-uarkan tentang ‘perjanjian perdagangan besar’ itu di media sosial. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda