Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump ambil tindakan ke atas pelajar China

    WASHINGTON, 29 MEI – Amerika Syarikat (AS) akan mengambil tindakan untuk mencegah dakwaan pengintipan oleh pelajar China, kata Setiausaha Negara, Mike Pompeo kelmarin, menjelang pengumuman yang dinantikan oleh Presiden Donald Trump.

    Trump sebelumnya berkata bahawa beliau akan mengadakan sidang media hari ini mengenai China di tengah-tengah ketegangan yang meningkat antara kedua-dua kuasa besar, termasuk mengenai status Hong Kong dan pandemik koronavirus.

    Ditanya mengenai satu laporan The New York Times bahawa Trump mempertimbangkan untuk menyingkirkan ribuan pelajar siswazah, Pompeo mengatakan bahawa pelajar China ‘tidak semestinya mereka yang berada di sekolah kita untuk mengintip.’

    “Kami mempunyai kewajipan – satu tanggungjawab – untuk memastikan bahawa pelajar yang datang ke sini untuk belajar, tidak bertindak mewakili Parti Komunis China,” kata Pompeo.

    The New York Times berkata bahawa pentadbiran Trump akan mempertimbangkan visa tahunan bagi ribuan siswazah yang berkait dengan tentera China.

    Langkah yang akan mencetuskan kemarahan dari universiti, yang mengharapkan yuran tuisyen tinggi daripada pelajar luar negara – di mana China dan India adalah dua sumber terbesar – dan telah terjejas akibat dari penutupan COVID-19.

    Aktivis Asia Amerika telah lama menyuarakan kebimbangan bahawa menyasarkan pelajar China memberi kesan kepada komuniti mereka sendiri, dengan warganegara AS keturunan Asia telah dicurigai tanpa asas.

    “Ini bukan untuk menakutkan, ini bukan perkauman. Orang Cina adalah orang yang hebat,” kata Pompeo ketika ditanya mengenai masalah itu.

    “Ini seperti zaman Kesatuan Soviet. Ini adalah komunis, rejim zalim yang menimbulkan risiko sebenar kepada AS,” katanya.

    Trump, dalam kenyataan kepada wartawan, menolak sidang media pratonton hari ini tetapi berkata, “Kami tidak gembira dengan China”, di mana beliau menyalahkan China mengenai COVID-19 dengan mengelarnya ‘Virus China’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda