WASHINGTON, 14 NOV – Presiden Donald Trump mengampuni bekas pemilik Tottenham Hotspur yang merupakan bilionair, Joe Lewis, kelmarin, kata seorang pegawai Rumah Putih.
Pegawai itu berkata, hartawan British berusia 88 tahun itu meminta bantuan untuk menerima rawatan perubatan dan melawat cucu dan cicitnya di Amerika Syarikat.
Lewis, yang mana keluarganya pengelola majoriti dalam pasukan bola sepak Tottenham Hotspur di Liga Perdana, mengaku bersalah pada tahun 2024 atas satu tuduhan konspirasi untuk melakukan penipuan berkaitan dengan pelaburan. Dia terselamat daripada dipenjarakan dan kini tinggal di Bahamas.
Semasa berdepan tuduhan jenayah perniagaan, Lewis mengaku bersalah, tidak menentang ekstradisi Amerika Syarikat dalam kes tersebut dan membayar denda AS$5 juta, tambah pegawai Rumah Putih itu.
Lewis mempunyai kekayaan yang setakat kelmarin mencecah AS$6.8 bilion, menurut Forbes. Dia membina reputasinya sebagai spekulator mata wang pada tahun 1980an dan awal 1990an.
Syarikat induknya, ENIC, membeli saham di Tottenham pada tahun 2001 daripada pemilik ketika itu, Alan Sugar, seorang lagi hartawan British terkemuka, dengan harga AS$22 juta. – AFP


