Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump arah tingkatkan kehadiran penguat kuasa undang-undang

    WASHINGTON, 8 OGOS – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengarahkan penambahan kehadiran anggota penguat kuasa undang-undang di Washington susulan peningkatan kadar jenayah di bandar raya itu serta insiden serangan terhadap bekas kakitangan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), kata jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    Kelmarin, Trump mencadangkan kemungkinan mengerahkan Pengawal Negara ke Washington berikutan peningkatan kadar jenayah di bandar raya itu dan serangan terhadap bekas kakitangan DOGE, Edward Coristine.

    Media melaporkan bahawa ejen persekutuan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Jabatan Imigresen dan Kastam (ICE) serta Pengawal Negara diarahkan bersiap sedia bagi kemungkinan penempatan anggota.

    “Presiden Trump telah mengarahkan peningkatan kehadiran penguat kuasa undang-undang persekutuan bagi melindungi orang awam yang tidak bersalah.

    Bermula malam ini, tiada lagi tempat selamat bagi penjenayah ganas di D.C.,” kata Leavitt seperti dipetik oleh akhbar The Hill.

    Langkah itu akan melibatkan lebih sedozen agensi termasuk FBI, ICE, Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) serta Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF), lapor akhbar berkenaan, sambil menambah peningkatan kehadiran penguat kuasa undang-undang itu akan berkuat kuasa selama tujuh hari.

    Pada awal Ogos, Coristine, 19, diserang oleh dua remaja yang cuba mencuri keretanya di Washington, D.C. Suspek  ditahan di lokasi kejadian. – Bernama

    Trump meninggalkan acara bagi menandakan Hari Jantung Ungu Kebangsaan di Bilik Timur Rumah Putih pada 7 Ogos, di Washington. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda