WASHINGTON, 2 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan berbual bersama Presiden Rusia, Vladmir Putin melalui telefon hari ini, apabila kedua-dua pemimpin itu berhasrat untuk memajukan hubungan berikutan kempen kedua-dua belah pihak di Syria dan dakwaan penggodaman.
Kedua-dua pihak Rumah Putih dan Kremlin mengesahkan pemimpin-pemimpin akan mengadakan perbualan telefon ketiga mereka sejak Trump menjawat jawatan presiden namun tidak memberikan butiran mengenai topik-topik yang akan dibincangkan. Perbualan itu dijangka akan diadakan pada 1630 GMT.
Pelantikan Trump sebagai presiden telah mencetuskan harapan di Moscow bahawa hubungan AS-Rusia akan bertambah baik selepas hubungan mereka merosot semenjak Perang Dingin sehingga penaklukan Crimea dari Ukraine yang dilakukan oleh Kremlin pada 2014.
Namun harapan telah berkurangan yang mengatakan Trump akan membuat perjanjian baik untuk menghidupkan kembali hubungan-hubungan apabila tuduhan-tuduhan mengatakan Putin menerajui satu operasi penggodaman dan memberikan pengaruh terhadap kempen untuk membuat Trump dilantik.
Pemimpin AS kemudian menaikkan kemarahan Kremlin dengan melancarkan serangan peluru berpandu bulan lepas di Syria menyasarkan sekutu Rusia tentera Bashar al-Assad bagi tindak balas terhadap serangan senjata kimia.
Trump sebelum ini telah berbincang melalui telefon dua kali bersama Putin sejak menjawat jawatan presiden dalam Januari dengan kedua-dua pemimpin ini membincangkan langkah-langkah untuk memerangi kumpulan jihad Islamic State (IS). – AFP