WASHINGTON, 9 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membatalkan akses keselamatan bekas Setiausaha Negara, Antony Blinken, serta beberapa pemimpin Demokrat lain, Xinhua memetik laporan beberapa media AS kelmarin.
Akhbar New York Post memetik kenyataan Trump dalam satu temu bual eksklusif bahawa beliau membuat keputusan untuk menarik balik akses keselamatan Blinken.
Blinken tidak lagi boleh mengakses maklumat sulit atau memasuki kemudahan kerajaan persekutuan.
Trump juga berkata bahawa beliau akan melakukan perkara yang sama terhadap tujuh lagi pemimpin Demokrat termasuk Jake Sullivan, yang sebelum ini berkhidmat sebagai penasihat dasar luar kepada Hillary Clinton ketika kempen pilihan raya presiden 2016.
Antara nama lain dalam senarai Trump ialah Peguam Negara New York, Letitia James; Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg; dan Timbalan Peguam Negara Biden, Lisa Monaco. Kesemua mereka pernah terlibat dalam siasatan terhadap Trump.
Trump turut membatalkan akses keselamatan Biden Jumaat lalu, sekali gus menamatkan taklimat harian keselamatan yang kebiasaannya diberikan kepada bekas presiden. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P21-4-AP-web_10022025.jpg)