Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump benarkan penempatan tentera ‘kuasa penuh’ di Portland

    WASHINGTON, 28 SEPT – Presiden Donald Trump kelmarin telah membenarkan penempatan tentera di bandar Portland, barat laut Amerika Syarikat, sekali gus memperluas penggunaan tentera dalam negeri yang mencetuskan kontroversi bagi menyokong tindakan keras terhadap imigresen.

    Penempatan tentera di Portland, bandar terbesar di Oregon itu telah mengikuti langkah serupa yang sebelum ini dijalankan oleh presiden Republikan dalam mengerahkan tentera bertentangan dengan kehendak kepimpinan Demokrat tempatan di Los Angeles dan Washington DC.

    Langkah tersebut turut dijalankan semasa Trump melancarkan serangan terhadap aktivis berhaluan kiri, susulan beberapa serangan maut yang menurut beliau dan sekutunya menjadi bukti kewujudan rangkaian ‘pengganas domestik’.

    “Atas permintaan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, saya mengarahkan Setiausaha Perang, Pete Hegseth, untuk menyediakan semua tentera yang diperlukan bagi melindungi Portland yang musnah akibat perang serta mana-mana fasiliti ICE yang diserang Antifa dan pengganas domestik lain,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

    ICE atau Jabatan Imigresen dan Kastam, merupakan agensi utama yang melaksanakan operasi besar-besaran pengusiran migran oleh Trump.

    Presiden Donald Trump semasa tiba di Pangkalan Bersama Andrews, Maryland, Amerika Syarikat pada 26 September. – AP

    Namun, tidak jelas sama ada Trump membenarkan penggunaan tentera di fasiliti ICE di seluruh negara atau hanya di Portland, di mana protes berlarutan selama beberapa bulan.

    Presiden itu menambah beliau juga “membenarkan penggunaan ‘kuasa penuh’, jika perlu,” tanpa menghuraikan lanjut.

    Datuk Bandar Portland, Keith Wilson, menyifatkan penempatan itu sebagai “tidak diingini, tidak perlu dan tidak berlandaskan semangat Amerika.”

    Di samping itu, Senator Oregon, Ron Wyden, turut menyifatkan langkah Trump itu sebagai “pengambilalihan autoritari terhadap Portland dengan harapan untuk mencetuskan konflik.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda