Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump bertemu Emmanuel Macron

    PARIS, 13 Julai – Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron dijangka mengenepikan perbezaan berhubung perdagangan dan perubahan iklim dan mencari persamaan apabila mereka mengadakan pertemuan hari ini sebelum perayaan Hari Bastille di Paris.

    Trump tiba di ibu negara Perancis selepas penerbangan semalaman dari Washington dan beberapa jam sebelum pertemuannya dengan Macron untuk menangani penyelesaian berpotensi kepada krisis di Syria dan strategi-strategi cegah pengganasan lebih luas.

    Keputusan Trump pada bulan lalu untuk mengundurkan AS dari perjanjian iklim Paris telah mencetuskan kemarahan di seluruh Eropah dan bantahan anti Trump dirancang ketika beliau berada di Paris.

    Macron, penyokong kuat penyelidikan ke atas usaha memerangi kepanasan sejagat telah mengisyaratkan ‘semua warganegara yang bertanggung jawab’ termasuklah para ahli sains Amerika dan para penyelidik supaya membawa perjuangan mereka menentang perubahan iklim ke Perancis.

    Presiden Donald Trump dan Melania Trump tiba di Air Force One di Lapangan Terbang Orly di Paris, kelmarin. – AP
    Presiden Donald Trump dan Melania Trump tiba di Air Force One di Lapangan Terbang Orly di Paris, kelmarin. – AP

    Pemimpin-pemimpin itu merancang mengadakan sidang media selepas rundingan mereka, dan Trump mungkin berdepan soalan-soalan keras tentang e-mel yang mendedahkan anak sulung beliau menyambut baik prospek menerima sokongan kerajaan Rusia dalam kempen presiden tahun lalu menyaingi Hillary Clinton.

    Trump mempertahankan anak lelakinya semalam, dengan memuji prestasi Donald Trump Jr dalam temu bual di Fox News Channel. Menerusi Twitter Trump mengatakan “Dia terbuka, telus dan tidak bersalah. Ini adalah pemburuan terhebat dalam sejarah politik. Sedih!” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda