WASHINGTON, 4 OGOS – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dijangka mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan kemungkinan perjanjian perdagangan baharu antara kedua-dua negara, menurut Menteri bertanggungjawab bagi Perdagangan Kanada-AS, Hal Ehwal Antara Kerajaan dan Satu Ekonomi Kanada, Dominic LeBlanc.
“Perbincangan setakat ini bersifat informatif, membina dan mesra. Saya menjangkakan perdana menteri akan berbincang secara langsung dengan presiden dalam beberapa hari akan datang,” kata LeBlanc dalam temu bual bersama CBS News selepas rundingan peringkat menteri di Washington, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.
LeBlanc turut menyatakan Carney telah mewujudkan hubungan yang ‘profesional dan saling menghormati’ dengan Presiden Trump.
Dalam masa sama, Kanada meluluskan One Canadian Economy Act yang dianggap setara dengan undang-undang One Big Beautiful Bill yang dilaksanakan oleh AS.
Undang-undang baharu itu dijangka mampu menarik pelaburan sehingga AS$500 bilion ke dalam infrastruktur Kanada.
LeBlanc percaya langkah itu akan menguntungkan perniagaan Amerika, mengukuhkan pengeluaran bersama dan meningkatkan daya saing Kanada berbanding China.
Rumah Putih sebelum ini mengumumkan bahawa Trump telah menandatangani arahan untuk menaikkan tarif perdagangan ke atas Kanada daripada 25 peratus kepada 35 peratus berkuat kuasa 1 Ogos, selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan dalam tempoh yang ditetapkan Washington. – Bernama


