WASHINGTON, 30 JUN – Presiden Donald Trump mengumumkan kelmarin bahawa satu kumpulan pembeli telah dikenal pasti bagi aplikasi TikTok, yang kini berdepan larangan operasi di Amerika Syarikat (AS) disebabkan kaitannya dengan China.
Beliau turut memaklumkan bahawa identiti pembeli akan diumumkan dalam tempoh dua minggu.
“Kami sudah ada pembeli untuk TikTok, kalau nak tahu,” kata Trump dalam satu temu bual bersama Fox Sunday Morning Futures yang dikendalikan oleh Maria Bartiromo.
Trump turut menyebut bahawa penjualan itu mungkin memerlukan ‘kelulusan daripada China’ dan beliau yakin Presiden Xi Jinping ‘mungkin akan bersetuju’.
TikTok dimiliki oleh syarikat internet yang berpangkalan di China, ByteDance.
Undang-undang persekutuan yang memerlukan TikTok dijual atau diharamkan atas alasan keselamatan negara telahpun dijadualkan berkuat kuasa sehari sebelum pelantikan Trump pada 20 Januari.
Namun begitu, Trump – dalam kempen pilihan rayanya pada 2024 bergantung kuat kepada media sosial dan pernah menyatakan minat terhadap TikTok – menggantung pelaksanaan larangan tersebut.
Pada pertengahan Jun, Trump melanjutkan tempoh selama 90 hari bagi aplikasi video popular itu untuk mencari pembeli bukan dari China atau berisiko diharamkan di AS. – AFP


