Thursday, July 17, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump dakwa sukar capai perjanjian dengan Xi

    WASHINGTON, 4 JUN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini menyatakan bahawa adalah ‘amat sukar’ untuk mencapai perjanjian perdagangan dengan Presiden China, Xi Jinping, sambil meneruskan pendekatan kerasnya dalam perang perdagangan global dengan menggandakan tarif ke atas import keluli dan aluminium.

    Kenyataan tersebut dibuat ketika para menteri Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) berkumpul untuk membincangkan prospek ekonomi global, susulan pendekatan keras AS terhadap perdagangan yang telah menggugat pasaran kewangan dunia.

    Langkah Trump yang mengenakan tarif secara meluas terhadap sekutu dan seteru perdagangan telah menjejaskan hubungan dengan rakan dagang utama dan mencetuskan rundingan pantas bagi mengelakkan impak cukai tersebut.

    Rumah Putih sebelum ini memberi bayangan bahawa Presiden Trump dijangka mengadakan perbualan dengan Presiden Xi minggu ini, sekali gus menimbulkan harapan untuk meredakan ketegangan serta mempercepatkan rundingan perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia.

    Namun begitu, pada awal pagi tadi, Trump kelihatan tiada harapan untuk penyelesaian segera.

    “Saya suka Presiden Xi China, sejak dahulu lagi dan saya akan terus menyukainya, tetapi beliau amat tegas dan amat sukar untuk membuat rundingan!!!” katanya menerusi platform Truth Social miliknya.

    China menjadi sasaran utama dalam tindakan tarif Trump yang diumumkan pada 2 April lalu, dengan barangan dari negara itu dikenakan tarif setinggi 145 peratus, yang kemudiannya dibalas oleh Beijing dengan tarif balas sebanyak 125 peratus terhadap barangan AS.

    Kedua-dua negara bersetuju untuk menangguhkan ketegangan itu pada bulan Mei, selepas Trump menunda sebahagian besar tindakan tarif terhadap negara lain sehingga 9 Julai.

    Namun, kenyataan terbarunya dibuat hanya beberapa jam selepas tarif ke atas keluli dan aluminium digandakan daripada 25 peratus kepada 50 peratus, yang dijangka memanaskan lagi ketegangan perdagangan dengan rakan-rakan dagangan utama. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda