WASHINGTON, 7 APRIL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa kelmarin bahawa China sepatutnya bersetuju dengan cadangan penjualan TikTok sekiranya tiada sekatan tarif baharu yang dikenakan oleh Washington minggu lalu.
Trump pada Jumaat melanjutkan tarikh akhir untuk TikTok mencari pembeli bukan Cina atau menghadapi larangan di AS, membenarkan 75 hari lagi untuk mencari penyelesaian, sehari selepas mengenakan cukai tambahan 34 peratus ke atas semua import China.
“Laporan menyatakan kita hampir capai perjanjian mengenai TikTok. Ia bukan muktamad, tetapi hampir dicapai. Namun, China mengubahnya disebabkan tarif. Jika saya kurangkan sedikit tarif, mereka akan luluskan dalam masa 15 minit,” katanya kepada wartawan semasa menaiki pesawat Air Force One.
TikTok yang kini mempunyai lebih 170 juta pengguna di AS, berdepan ancaman larangan operasi berikutan undang-undang yang diluluskan tahun lalu, yang mewajibkan aplikasi itu memisahkan operasinya daripada syarikat induk China, ByteDance, atau ditutup sepenuhnya di negara itu.
Trump sebelum ini menyatakan pentadbirannya hampir menemui pembeli baharu bagi menyelamatkan TikTok daripada larangan tersebut, namun tidak memperincikan pelabur terlibat.
Dalam kenyataan susulan, ByteDance mengesahkan bahawa rundingan dengan kerajaan AS masih berkuat kuasa, namun menegaskan terdapat beberapa isu penting yang belum diselesaikan.
“Tiada perjanjian yang dimeterai setakat ini,” jelas syarikat itu, sambil menambah bahawa sebarang keputusan yang diambil masih tertakluk kepada kelulusan undang-undang China. – AFP
