WASHINGTON, 24 OKT -Sekumpulan anggota Parti Demokrat telah mengutus surat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk meminta butiran mengenai pembinaan sebuah dewan besar bernilai AS$250 juta yang dilaporkan akan menggantikan Sayap Timur Rumah Putih, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kami menulis berhubung pembinaan dewan besar baharu bernilai AS$250 juta yang dilaporkan sedang dijalankan di kompleks Rumah Putih ketika penutupan kerajaan sedang berlaku, termasuk kerja-kerja perobohan sebahagian Sayap Timur yang bersejarah.
“Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai ketelusan, keutamaan pembiayaan, integriti fizikal Rumah Putih serta integriti etika pentadbiran yang beroperasi di dalamnya,” menurut surat berkenaan.
Dalam surat itu, anggota Dewan Perwakilan AS berkenaan menegaskan bahawa perobohan Sayap Timur bersejarah Rumah Putih itu dilaporkan dilakukan tanpa pengawasan National Capital Planning Commission, yang seperti agensi kerajaan lain kini turut terjejas akibat penutupan kerajaan.
Anggota Dewan Perwakilan AS, Robert Garcia, Yassamin Ansari dan Jared Huffman menegaskan dalam surat itu bahawa keputusan mengenai perobohan dan pembinaan dewan besar berkenaan dibuat dalam ‘kerahsiaan menyeluruh’ tanpa pendedahan awam yang mencukupi.
Mereka turut meminta senarai lengkap dokumen berkaitan pembinaan itu, termasuk butiran belanjawan projek, senarai semua penderma serta taklimat mengenai perkara berkenaan sebelum 6 November, menurut surat tersebut.
Awal minggu ini, rakaman menunjukkan pekerja sedang merobohkan sebahagian Sayap Timur Rumah Putih sebagai sebahagian daripada kerja pembinaan dewan besar itu. Selepas itu, Trump mengumumkan permulaan projek pembinaan dewan besar baharu yang dibiayai melalui sumber swasta. – Bernama/Sputnik/Ria Novosti


